Joniston meninjau jambatan kereta baharu di Kampung Nulu, Kiulu.
KIULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai menegaskan komitmen beliau untuk terus mendesak keperluan infrastruktur penting bagi meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat di sini.
Menyedari kepentingan perhubungan yang lancar, beliau berjanji untuk memperjuangkan pembinaan jambatan strategik bagi menghubungkan semua kampung di Kiulu dengan berkesan.
Joniston berkata demikian pada majlis pelancaran jambatan kereta yang baharu dibina di Kampung Nulu, di sini, hari ini.
Pada masa ini, katanya, kerja pembinaan sedang dijalankan untuk dua lagi jambatan penting di Kampung Pahu dan Kampung Poturidong yang dijadualkan siap pertengahan tahun ini.
“Saya sendiri telah turun padang untuk melihat sendiri perkembangan pembinaan dua jambatan itu yang akan memberi manfaat kepada sebilangan besar penduduk di beberapa kampung.
“Projek pembinaan dua lagi jambatan utama di Kampung Mantob dan Kampung Bayag juga telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12,” kata Joniston.
Tambah beliau, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Philemon Lajawai telah memberi jaminan bahawa proses tender untuk projek-projek ini akan dikeluarkan dalam tahun ini.
“Saya akan terus berusaha untuk mendesak kelulusan bagi keperluan infrastruktur strategik lain di Kiulu,” tegas Joniston.
Beliau menekankan kepentingan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, dan kemudahan utiliti dalam merealisasikan potensi pertanian dan pelancongan penuh di Kiulu.
Mengenai jambatan kereta baharu itu, Joniston berkata, kemudahan jambatan yang merentasi Sungai Kimaulau akan memberi manfaat kepada ratusan penduduk.
Beliau berkata, sebelum ini, penduduk kampung yang berkereta terpaksa meninggalkan kenderaan di tepi sungai dan menggunakan jambatan gantung untuk ke kampung mereka.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nulu, Samuel Gumbaris berkata, sebanyak sembilan buah kampung menggunakan kemudahan jambatan kereta ini.
Kampung-kampung tersebut adalah Nulu, Kaung Lapai, Simpangan Lama, Taginambur, Balabakan, Giok, Nadau, Pomorian dan Pantok.
“Kami sudah menunggu pembinaan jambatan kereta ini selama bertahun-tahun. Lebih kurang 4,000 orang yang mendapat manfaat daripada pembinaan jambatan kereta ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan GRS kita sekarang ini yang mampu merealisasikan keperluan rakyat di sini,” katanya.
Penduduk Kampung Nulu, Rita Salagan berkata, jambatan kereta itu telah memendekkan masa perjalanan dari Pekan Kiulu ke Pekan Nabalu serta perjalanan penduduk kampung dari Pantok ke Nulu dan ke Pekan Kiulu serta Pekan Tamparuli.
“Dengan adanya jambatan ini, kemungkinan akan ramai yang datang ke tamu Pekan Nabalu untuk memasarkan hasil pertanian.
“Kami sudah sekian lama menanti pembinaan jambatan kereta tersebut. Syukur dan terima kasih kepada Datuk Joniston sebab berjaya membina jambatan ini dan merasmikannya,” katanya.


































