Nik Yusaimi Yussof (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan alat mainan seks dalam sidang akhbar di Kompleks KDN Setia Tropika, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Taktik licik pemilik premis kosmetik dan kesihatan menjual pelbagai jenis alat mainan seks terbongkar susulan empat serbuan dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di empat buah negeri tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, hasil serbuan yang dijalankan pihaknya bermula 18 Januari hingga 6 Februari lalu berjaya merampas 2,295 unit alat mainan seks bernilai RM70,000.
Rampasan itu hasil empat operasi di Johor, Sarawak, Perak dan Pulau Pinang.
“Serbuan pertama tahun ini dilakukan di permis jualan dalam pusat beli-belah di Kuching, Sarawak dan rampasan sebanyak 135 unit bernilai RM10,890.50.
“Rampasan kedua pula hasil serbuan di sebuah stor di Masai, Johor Bahru sebanyak 2,012 unit bernilai RM37,350,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks KDN Setia Tropika, di sini hari ini.
Nik Yusaimi berkata, serbuan ketiga dan keempat dilakukan di Bayan Lepas, Pulau Pinang (102 unit) dan Ipoh, Perak (46 unit) dengan nilai rampasan masing-masing RM15,732 serta RM6,050.
Dalam serbuan tersebut, empat individu termasuk seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan merupakan pemilik perniagaan bagi membantu siasatan.
Katanya, alat mainan seks tersebut disyaki diimport dari China untuk memenuhi pasaran tempatan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.
“Alat mainan seks adalah dilarang di negara ini kerana bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat Malaysia.
“Penjualan alat mainan seks ini dikesan semakin meningkat bukan sahaja dalam talian, malah turut dijual secara terbuka di premis perniagaan dengan harga serendah RM50 hingga RM300,” katanya.
Sepanjang tahun lalu, KDN merampas pelbagai jenis alat mainan seks dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta.
































