Fahmi Fadzil
KUANTAN: Semua pihak diingatkan supaya tidak mempersoalkan keputusan pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang sudah diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan yang mana ia tidak boleh dipersoalkan mana-mana pihak termasuk di mahkamah.
Beliau menjelaskan, perkara itu termaktub dalam Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau di mahkamah tidak boleh dipersoal, saya pohon supaya kita hormat keputusan ini. Saya percaya di pihak kerajaan, kita ambil maklum reaksi banyak pihak sama ada yang setuju, atau yang tak setuju.
“Cuma kita pohon semua untuk menghormati keputusan ini kerana ia merupakan kuasa yang ada pada tuanku,” katanya dalam sidang akhbar pada program Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Goh di sini kelmarin.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61 memutuskan hukuman ke atas Najib diberikan pengampunan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh urusetia lembaga tersebut semalam, oleh yang demikian bekas Perdana Menteri itu yang sebelum ini dihukum penjara selama 12 tahun dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Bagaimanapun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara itu akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sekiranya terdapat keterlanjuran kata berhubung keputusan Lembaga Pengampunan tersebut, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu terbabit.
“Janganlah kita sehingga berlaku pelanggaran undang-undang, adab, tatasusila dan jangan menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R). Jika kita terlanjur dalam beberapa komen, tindakan boleh diambil oleh pihak polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

































