PETALING JAYA: Perubahan cuaca dan Monsun Timur Laut (MTL) 2023 menyebabkan bekalan ikan terutamanya pendaratan spesies ikan kembung berkurang kerana pendaratan ikan berkenaan adalah paling rendah pada bulan November hingga Mac atau April dan akan meningkat mulai Jun atau Julai tahun depan.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan perangkaan Jabatan Perikanan, pendaratan ikan kembung pada tahun 2021 adalah sebanyak 40,959.95 tan metrik manakala tahun 2022 merekodkan 39,146.95 tan metrik.
Pada tahun ini bagi tempoh Januari hingga September, pendaratan ikan mencatatkan 33,102 tan metrik dengan nilai RM410 juta dan jumlah pendaratan ikan kembung bagi Pantai Barat Semenanjung sebanyak 22,765 tan metrik manakala di Pantai Timur sebanyak 9,637 tan metrik.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, keterjaminan makanan stok ikan rakyat terjamin melalui pendaratan ikan di pantai barat semenanjung yang tidak terjejas oleh perubahan cuaca.
“Jabatan Perikanan menjalankan kajian dan mempunyai maklumat lengkap mengenai cadangan musim tertutup bagi ikan kembung dan pelaling di Kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
“Berdasarkan kajian pentaksiran sumber yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan, stok ikan kembung akan mula tertangkap oleh pukat nelayan mulai April 2024 yang ini berkait dengan migrasi ikan kembung ke perairan negara”, katanya dalam kenyataan.
Adnan berkata, sumber ikan kembung akan mulai stabil pada bulan April tahun depan kerana telah berada di kawasan perairan Malaysia, oleh itu peningkatan sumber ikan kembung boleh berlaku dan memberi keuntungan kepada nelayan tempatan.
Terdahulu, ikan kembung juga merupakan sumber yang dikongsi bersama (shares stock) di peringkat serantau seperti di negara Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Filipina serta Brunei.
Pendaratan yang kurang pada masa ini, disebabkan sumber bergerak ke kawasan lain di dalam ekosistem Laut Andaman dan Laut China Selatan.
Spesies ini banyak dieksport ke Australia, Brunei dan Hong Kong manakala negara India an China antara yang paling tinggi dalam pengimportan ikan berkenaan.
Perubahan cuaca Monsun Timur Laut memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi migrasi ikan kembung dan kelangsungan pembiakan semulajadi untuk kemampanan sumber perikanan.
































