Penduduk Kampung Bukit Lata, Syed Kamarul Syed Othman menunjukkan cermin tingkap surau yang pecah akibat gegaran kesan letupan gudang mercun di Pekan Mundok, Thailand.
RANTAU PANJANG: Penduduk di Kampung Bukit Lata di sini digemparkan dengan gegaran kuat dipercayai berpunca daripada kesan letupan sebuah stor penyimpanan mercun di Pekan Munok, Thailand, kelmarin.
Kesan gegaran kuat sekitar pukul 3.30 petang itu menyebabkan bahagian siling dan cermin rumah runtuh serta pecah akibat tidak dapat menyerap tekanannya.
Menurut Utusan Malaysia, seorang penduduk, Nor Ayunie Amran, 37, yang sedang berpantang mendakwa gegaran tersebut dapat dirasai dalam tempoh 10 saat sehingga menyebabkan siling rumahnya runtuh.
Katanya, dalam keadaan panik dia membawa empat anak sambil dibantu suami untuk menyelamatkan diri.
“Kejadian ini nyaris mencederakan anak bongsu kami yang berusia 23 hari apabila serpihan siling yang pecah terjatuh ke atas katil. Ketika itu anak sedang tidur.
“Syukur kami sekeluarga selamat walaupun rumah rosak. Awalnya, saya ingatkan ada letupan bom, namun selepas melihat asap berkepul-kepul naik ke udara dan disusuli letupan kecil seperti bunyi tembakan, rupa-rupanya gudang mercun meletup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Seorang lagi penduduk, Razak Che Wan, 62, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bot di tebing Pekan Mundok, Thailand.
Katanya, kesan letupan yang kuat itu mengakibatkan dia rebah terbaring dalam perahu seolah-olah ada angin kuat menolaknya.
“Selepas itu kecoh penduduk Thailand di tebing Pekan Mundok memberitahu gudang mercun meletup.
“Saya terus menghidupkan enjin bot tambang menyeberangi sungai Golok pulang ke rumah,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kesan letupan berkenaan turut merosakkan surau apabila cermin tingkap pecah dan hampir 10 rumah penduduk lagi rosak.
Selain itu, gegaran tersebut turut dirasai di beberapa kampung sekitar Rantau Panjang.