Anwar Ibrahim bersalaman dengan warga MOF selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MOF di Putrajaya
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan setiap agensi dan jabatan di bawah Kementerian Kewangan (MOF) menghantar laporan minit mesyuarat sebagai ‘bukti’ wujudnya proses rundingan antara semua pegawai tidak mengira pangkat diberikan ruang untuk menyampaikan pandangan masing-masing.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri menegaskan, dalam hal itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican ditugaskan untuk menghantar laporan kepadanya bermula mesyuarat kementerian seawal pada minggu ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mendapat maklumat ada pegawai peringkat bawah tidak dapat menyampaikan input sekali gus pengarahan pelaksanaan dasar tidak sampai ke semua peringkat.
“Setiap ketua jabatan apabila mengadakan mesyuarat harus memberi ruang kepada semua pegawai memberikan pandangan sama ada statusnya lebih junior atau tidak. Ini perlu diperbetulkan.
“Kita berunding sesama kita, kemudian membuat keputusan dan keputusan itu harus diterima baik setelah dirunding. Jangan ingat kita ini serba pintar, hebat, pandai, perancang strategi, semua itu harus sebaik mungkin tapi harus ingat, bahawa perlu tawakal kepada Allah,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan MOF di sini kelmarin.
Anwar berkata, langkah itu perlu dimulakan di MOF supaya menjadi contoh kepada kementerian lain untuk memastikan ada rundingan baik tidak hanya pengarahan dari menteri ke bawah atau dari peringkat tertiggi ke peringkat bawahan sahaja.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, status pelaksaan projek berkepentingan rakyat dilihat tidak memuaskan dan perlu diperbaiki lebih baik.
Sebagai contoh katanya, beliau mengumumkan pemulihan sekolah dan klinik daif sejak November tahun lalu untuk diperbaiki segera supaya ia dapat diselesaikan tahun ini tetapi masih belum dilaksanakan.
“Saya nak pastikan peruntukan itu disalurkan segera, keduanya kalau ada kekangan, kerana katanya Jabatan Kerja Raya (JKR) dibebankan dengan ribuan projek tambahan. Ini menyukarkan.
“Saya sudah bincang dengan Menteri Kerja Raya untuk kecualikan ini dari tugas JKR dan diserah kepada jabatan dan kementerian berkaitan terutama di peringkat pegawai daerah untuk dipercepatkan,” katanya.
Anwar pada masa sama berkata, beliau tidak ada masalah untuk mengubah proses pelaksanaan projek agar ia disegerakan asalkan masih mematuhi kaedah peraturan kewangan tanpa ada penyelewengan atau mengambil komisen.
“Bagi sekolah yang tidak ada tandas atau bumbung sekolah bocor pun tak boleh tunggu sampai dua tahun untuk (baiki pulih) jadi kena segera.
“Saya tidak ada masalah untuk percepatkan projek, namun perkara berkaitan langgar peraturan itu kita kena pertahankan, perlu memastikan ada ketelusan dan ada kebertanggunjawaban,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akan ada pertemuannya dengan semua pegawai daerah pada 17 Jun ini untuk beliau mengarahkan supaya kuasa projek kecil itu boleh terus dipindahkan ke pejabat daerah supaya pelaksanaan itu dapat dipantau dan disegerakan.
“Saya harap kementerian lain pun mengambil tindakan sama supaya ada usaha untuk memantau pelaksanaan projek walaupun peruntukan sudah diluluskan,” katanya.































