Masidi (empat dari kanan) menerima cenderamata daripada Wong.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun menekankan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam mempercepatkan transformasi digital negeri, termasuk dalam analisis data besar, automasi perkhidmatan kerajaan, keselamatan siber serta peningkatan produktiviti industri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penggunaan AI diselaraskan dengan hala tuju pembangunan di bawah pelan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), yang menekankan transformasi ekonomi berteraskan inovasi, pelaburan berkualiti serta pembangunan lestari.
“Dalam era pendigitalan masa kini, potensi pembangunan ekonomi biru semakin signifikan dengan memberi fokus kepada pemanfaatan sumber laut secara mampan melalui teknologi digital, termasuk sektor perikanan pintar, pelancongan marin serta pemantauan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Malaysia Digital Chamber of Commerce (MDCC) yang diketuai Pengerusi Emeritusnya, Dr. Chris Daniel Wong di pejabatnya.
Masidi menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong transformasi digital, penggunaan AI serta pembangunan Ekonomi Biru sebagai pemacu pertumbuhan baharu Sabah.
“Kerajaan Negeri sentiasa terbuka kepada kerjasama strategik yang mampu membawa manfaat kepada rakyat, selaras dengan aspirasi SMJ 2.0 untuk memastikan pembangunan lebih efisien,” katanya.
Kunjungan itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Negeri dan pemain industri digital, khususnya dalam memperkasa agenda ekonomi digital serta memperluas peluang pelaburan berasaskan teknologi di negeri ini.
Sementara itu, Wong berkata, Program Forum Ekonomi Digital Malaysia 2026 anjuran MDCC akan diadakan di Dewan ITCC Penampang pada 11 Ogos ini, bermula jam 2 petang, dengan tema “Blue Economy & Artificial Intelligence – Driving Sustainable Digital Growth”.
































