Antara graduan ILKKM Zon Sabah.
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuhkan reformasi tenaga kerja kesihatan bagi menangani kekurangan 10,557 jururawat di fasiliti kesihatan negara setakat 30 Jun lepas.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada 73,281 perjawatan jururawat gred U5 hanya 62,724 pengisian direkodkan, iaitu kira-kira 85.60 peratus.
“Kekurangan itu didorong beberapa faktor utama termasuk persaraan, penghijrahan tenaga berkemahiran ke luar negara dan persaingan yang cukup sengit daripada sektor swasta.
“Angka 10,000 lebih ini bukan sekadar satu statistik atas laporan. Angka inilah yang menentukan lambat atau cepatnya ibu bapa kita menerima rawatan di zon kecemasan, angka inilah penentu kualiti nyawa pesakit.
“KKM telah lancarkan Pelan Strategik Kejururawatan 2026-2036 pada 9 Jun lepas yang dipacu dengan 17 strategi dan 44 inisiatif dan hari ini saya bentangkan 3 strategi utama reformasi tenaga kerja.
“Pertama, kita tingkatkan pengeluaran, mulai 2025 pengambilan jururawat pelatih telah ditingkatkan kepada 3,000 setahun.
“Kita unjurkan 13,345 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) bakal dilahirkan menjelang 2030, malah kita perluaskan strategi dengan sasaran 2,000 pelatih setahun ke pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
“Empat cawangan ILKKM akan dibuka semula menjelang Oktober 2027 di Kuantan, Kuala Terengganu, Muar dan Pulau Pinang dengan tambahan kapasiti 500 pelatih setiap tahun, Ini menjadikan kapasiti keseluruhan program Diploma Kejururawatan kepada 5,500 pelatih setahun,” katanya semasa merasmikan Istiadat Konvokesyen 2026 ILKKM Zon Sabah di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah, pada Sabtu.
Menurut beliau, bagi strategi kedua perluasan laluan kerjaya iaitu KKM akan memulakan 15 program On-The-Job Training (OJT) September ini membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh lama.
“KKM turut memperluaskan laluan Jururawat Masyarakat menjadi jururawat menerusi Diploma Peralihan.
“Manakala, strategi ketiga pula ialah pengambilan terus dan autonomi, kita tidak mahu graduan kejururawatan ternanti-nanti tanpa jawatan.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan pengecualian Lantikan Kontrak Interim, maksudnya semua graduan kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia akan diserap terus ke jawatan tetap,” jelasnya.
Dzulkefly berkata, sejak 9 Julai lepas, KKM turut diberikan kuasa autonomi untuk menguruskan perjawatan bagi mengurangkan birokrasi dan memastikan lulusan bidang berkaitan ditempatkan terus di lapangan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 6,987 graduan yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen 2026 ILKKM yang melibatkan 5,117 graduan di Zon Semenanjung, 924 di ZON Sabah dan 946 di Zon Sarawak.
Hadir sama, Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. William Gotulis, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Latih, Emilia Rosnizar Ahmad Hanipiah dan Pengerusi Jawatankuasa Istiadat Konvokesyen ILKKM Tahun 2026 Zon Sabah, Mat Shater Awang.
































