Masidi merasmikan pembukaan Karnival Momogun.
KOTA MARUDU: Masyarakat Orang Asal Sabah mempunyai peranan penting dalam pembangunan negeri dan perlu terus terlibat dalam usaha membentuk masa depan Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Bagi Kerajaan Negeri, kemajuan yang kita usahakan mestilah mengambil kira kepentingan semua lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk membangunkan sebuah negeri yang maju, aman dan makmur,” katanya ketika merasmikan pembukaan Karnival Momogun sempena sambutan Hari Masyarakat Orang Asal Sedunia 2026 di Dataran Kota Marudu hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Ketua Menteri berkata, Perlembagaan Persekutuan sendiri mengiktiraf kedudukan Anak Negeri Sabah.
Beliau berkata, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, antara lain, memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti lain.
Justeru, peruntukan tersebut mencerminkan pengiktirafan yang diberikan kepada Anak Negeri Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, katanya.
“Dalam konteks sambutan Hari Masyarakat Oramg Asal Sedunia, ia turut mengingatkan kita tentang pentingnya memelihara identiti, bahasa, adat resam, budaya dan sejarah Masyarakat Orang Asal Sabah sebagai sebahagian daripada warisan negeri,” katanya.
“Ia mengingatkan kita bahawa bahasa, budaya, adat resam, kesenian dan sejarah yang diwarisi daripada generasi terdahulu merupakan sebahagian daripada warisan yang membentuk identiti sesebuah masyarakat.
“Di Sabah, perkara ini amat dekat dengan kita. Negeri ini sejak sekian lama menjadi tempat tinggal pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat Anak Negeri, yang masing-masing mempunyai bahasa, adat resam, budaya dan sejarah tersendiri.
“Kepelbagaian kumpulan etnik dan masyarakat Anak Negeri ini bukanlah sesuatu yang memecah-belahkan kita. Sebaliknya, kepelbagaian ini merupakan antara kekuatan terbesar Sabah dan membentuk keunikan negeri yang kita cintai,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menghormati kepelbagaian identiti, istilah dan tradisi yang digunakan oleh pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat Anak Negeri di Sabah.
Hajiji berkata, tema Karnival Momogun tahun ini sempena sambutan Hari Masyarakat Orang Asal Sedunia, “Memperkasa Kesejahteraan Masyarakat Orang Asal”, amat bertepatan dengan usaha memastikan pembangunan negeri bergerak seiring dengan kesejahteraan rakyat.
“Dalam hal ini, kesejahteraan tidak seharusnya dilihat semata-mata dari perspektif pembangunan ekonomi. Ia turut merangkumi keharmonian sosial, pemeliharaan identiti dan warisan, pendidikan, pembangunan modal insan serta keupayaan masyarakat menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa kehilangan akar budaya dan identiti mereka,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif seperti Karnival Momogun turut menyediakan peluang kepada generasi muda untuk memahami dengan lebih mendalam bahasa, adat resam, kesenian, budaya dan sejarah yang diwarisi daripada masyarakat mereka.
“Pada masa yang sama, ia menyediakan ruang kepada masyarakat umum untuk mengenali dan menghargai kekayaan warisan budaya yang terdapat di Sabah.
“Dalam hal ini, Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal, atau UNDRIP, turut menjadi rujukan antarabangsa penting berkaitan Masyarakat Orang Asal.
“Antara perkara yang diberi penekanan di bawah UNDRIP ialah kepentingan identiti, bahasa, adat resam, tradisi dan warisan budaya Masyarakat Oeang Asal, serta pewarisannya kepada generasi akan datang.
“Prinsip-prinsip ini mengingatkan kita bahawa pembangunan dan pemeliharaan warisan tidak semestinya bercanggah antara satu sama lain,” katanya.
Mengucapkan tahniah kepada Kongres Nasional Momogun, Pejabat Daerah Kota Marudu, Lembaga Kebudayaan Sabah dan seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan Karnival Momogun, Hajiji berkata: “Sabah adalah rumah kita bersama.”
“Negeri ini dibentuk oleh kepelbagaian masyarakat, bahasa, budaya dan adat resam yang telah hidup bersama selama beberapa generasi.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan pembangunan negeri dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.




























