Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Tindakan melompat parti atau menarik sokongan yang digerakkan sesetengah blok politik bukan sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya usaha terdesak untuk menutup kegagalan mutlak serta penolakan rakyat terhadap mereka pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) lalu.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, senario politik ketika ini turut membongkar semula agenda tersirat penubuhan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai parti serpihan Parti Warisan (Warisan).
Beliau berkata, sejak awal, KDM digerakkan untuk menarik sokongan masyarakat Bumiputera KDM selepas mereka menolak kepimpinan Warisan.
“Data rasmi keputusan pilihan raya negeri dengan jelas membuktikan bahawa cubaan parti-parti ini untuk mendominasi politik Sabah telah dihukum sepenuhnya oleh pengundi di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkarnain berkata, pada PRN17, KDM bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, namun hanya berjaya memenangi satu kerusi, iaitu DUN Paginatan menerusi Datuk Rusdin Riman.
Katanya, kemerosotan pengaruh KDM turut terserlah apabila Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter gagal meraih mandat rakyat, yang disifatkannya sebagai petunjuk moral bahawa parti itu telah ditolak pengundi.
Beliau berkata, senario sama berlaku kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) yang meletakkan calon di 46 daripada 73 kerusi DUN, tetapi hanya mampu mempertahankan dua kerusi, iaitu Tambunan dan Bingkor.
“Tindakan KDM yang cuba mengadakan perbincangan atau gerakan luar kerajaan bersama pakatan lama adalah langkah terdesak bagi membentuk talian hayat baharu pasca-kekalahan mereka,” katanya.
Zulkarnain turut mengingatkan rakyat bahawa asas penubuhan KDM tidak lari daripada pengaruh pengasasnya, Peter Anthony yang disifatkannya sebagai orang kanan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menurutnya umum diketahui telah disabitkan dengan kes rasuah di mahkamah.
Sebaliknya, beliau berkata Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor terus mendapat kepercayaan utuh sebagai blok yang membawa kestabilan sebenar demi pembangunan inklusif negeri.
“Rakyat Sabah sudah memberikan keputusan yang sangat jelas dalam PRN17 di mana kegagalan meraih kerusi serta tumpasnya kepimpinan tertinggi KDM mempamerkan penolakan mutlak masyarakat Bumiputera KDM terhadap agenda peribadi mereka.
“Walaupun masih banyak kekurangan, namun jangkaan empat hingga lima tahun akan datang, tiga masalah kritikal iaitu isu air, krisis elektrik dan masalah jalan raya akan mampu dinoktahkan sepenuhnya di bawah pentadbiran GRS,” katanya.






























