Hajiji diberi taklimat semasa melawat dan meninjau kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah pakej WP25 di Sukau hari ini.
SUKAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meninjau sendiri kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo di sini sambil menekankan keperluan penyelarasan segera antara agensi bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual tanpa kelewatan lanjut.
Dalam lawatan kerjanya, beliau singgah di tapak projek pakej WP25 bagi sesi tinjauan, pemantauan dan taklimat ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Lawatan Pemeriksaan Keselamatan ke Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone).
Hajiji diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab, serta pembantu-pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Dalam taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau dimaklumkan projek WP25 yang merangkumi kira-kira 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 12.35 peratus berbanding sasaran asal 15.30 peratus.
Kemajuan kewangan pula berada pada tahap 11.52 peratus.
Projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu dijadual siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh sasaran pada Februari 2028.
Antara komponen utama pembinaan termasuk jejambat, hentian bas, jejantas pejalan kaki, sistem perparitan dan pembetung yang direka untuk meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.
Hajiji turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan utama di tapak yang menjejaskan kemajuan kerja, termasuk isu pemindahan utiliti, pengambilan tanah serta perobohan struktur sedia ada.
Masalah berkaitan utiliti dikenal pasti antara faktor utama yang melambatkan kerja tanah selain cabaran logistik dan kekangan akses sementara di kawasan projek.
Selain WP25, beliau turut diberi taklimat mengenai kemajuan pakej WP24 berhampiran yang melibatkan jajaran sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh.
Sehingga April 2026, kemajuan fizikal WP24 direkodkan sekitar 15.60 peratus dengan sedikit kelewatan berbanding jadual asal.
Sehubungan itu, Hajiji menegaskan kepentingan penyelarasan berkesan antara semua agensi terlibat bagi menyelesaikan isu di tapak, termasuk mempercepatkan pengambilan tanah dan pemindahan utiliti bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan projek.
Beliau berkata, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan untuk memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya, merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesalinghubungan di Pantai Timur Sabah.
“Kerajaan Negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya.
































