Hajiji menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM sempena program sama di Dewan Perdana Lahad Datu, hari ini.
LAHAD DATU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan pengukuhan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) akan terus dipacu melalui penggunaan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kestabilan yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited memperkukuh keupayaan keselamatan menerusi pemodenan aset serta penggunaan teknologi seperti dron, radar dan analisis data raya bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh serta respons lebih pantas terhadap sebarang ancaman.
“Seiring dengan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, kita mahu agensi keselamatan memperkasakan penggunaan AI dalam operasi supaya sistem keselamatan kita bukan sahaja kukuh secara fizikal, tetapi juga dari segi digital,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah SMJ sempena lawatan tinjauan keselamatan Ketua Menteri ke ESSZone di Dewan Perdana, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, aspek keselamatan tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, malah menjadi prasyarat utama dalam menarik keyakinan pelabur ke Sabah.
“Tanpa jaminan keselamatan yang kukuh, keyakinan pelabur akan terjejas, aktiviti ekonomi terbantut dan kesejahteraan rakyat turut terkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pembangunan di kawasan ESSZone akan dilaksanakan secara holistik dengan mengimbangi keperluan keselamatan serta pembangunan ekonomi dan sosial.
Menurutnya, sektor maritim dan Ekonomi Biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu di bawah SMJ 2.0, meliputi industri perikanan moden, pelancongan marin serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan.
Bagaimanapun, katanya potensi besar itu hanya mampu direalisasikan sekiranya keselamatan perairan negeri terus diperkukuh tanpa kompromi.
“Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer dan bertindak sebagai barisan hadapan negara di Borneo serta Laut Sulu. Pengukuhan keselamatan bukan sahaja melindungi rakyat, tetapi membuka ruang kepada pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri,” katanya.
Dalam konteks Lahad Datu, beliau berkata, daerah itu mempunyai potensi ekonomi besar khususnya dalam sektor perladangan, perikanan, pelancongan dan industri hiliran.
“Namun, semua ini hanya dapat direalisasikan sepenuhnya sekiranya persekitaran kekal selamat dan stabil. Pelabur hanya akan datang jika yakin keselamatan perairan kita terjamin,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan bukan terletak kepada pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat.
Beliau menyeru rakyat khususnya di kawasan ESSZone supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Peranan komuniti amat penting sebagai rakan strategik kepada pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kebajikan anggota keselamatan akan terus dipelihara melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuk dari segi kemudahan, perumahan dan logistik.
Katanya, sinergi antara semua pihak akan terus diperkukuh bagi memastikan ESSZone kekal aman dan terkawal.
Menyentuh lawatan tinjauan keselamatan itu, Hajiji berkata, ia menjadi platform untuk menilai kekuatan serta kelemahan sedia ada sebelum merangka penambahbaikan lebih berkesan demi keselamatan negeri.
































