Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA: Dalang utama pelaburan kutu Saving Sapiza Extra (SSE) telah didakwa di mahkamah di bawah di bawah Sek 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (kesalahan pengambilan deposit).
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pendakwaan wanita itu membabitkan empat kertas pertuduhan pada Februari dan Mac lalu.
Katanya, satu lagi kertas siasatan telah mendapat arahan untuk dituduh di bawah Kontinjen Selangor.
“Selain itu, terdapat tiga kertas siasatan melibatkan ejen yang telah dituduh di bawah Sek 417 Kanun Keseksaan dan Sek 424 KK kerana tiada keterangan secara terus antara pengadu dan suspek utama.
“Masih terdapat 11 kertas siasatan dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya manakala 14 lagi masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.
Menurut Ramli, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 157 laporan berkaitan penipuan tersebut.































