Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick mengetuai delegasi Sabah dalam lawatan kerja dan misi perdagangan ke China bermula hari ini hingga 11 Mei ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) dijadual menghadiri serta menyampaikan ucapan pada Forum Pelaburan dan Perdagangan Dalian–Sabah.
Dalam program itu, beliau turut dijangka menyaksikan pemeteraian lima Memorandum Persefahaman (MoU) serta pertukaran dokumen Surat Niat antara Sabah dan Dalian.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan bersama semua pemegang taruh dan pemain industri yang terlibat dalam pemeteraian MoU berkenaan.
Selain itu, Ewon akan mengetuai perbincangan rasmi antara delegasi Sabah dengan kerajaan perbandaran Dalian bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan pelaburan dua hala.
Dalam rangka lawatan tersebut, beliau turut dijadual menghadiri sesi pertemuan industri yang dianjurkan oleh Dalian Federation of Industry and Commerce bersama Malaysia–China Chamber of Commerce Sabah.
Ewon juga akan mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia di Beijing serta mengadakan pertemuan dengan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) bagi membincangkan peluang pelaburan strategik.
Turut serta dalam delegasi tersebut ialah MINDET, Kementerian Pendidikan, Sains dan Inovasi Sabah, Sekretariat SMJ, Unit Perancang Ekonomi Negeri, SEDCO, JETAMA, Invest Sabah, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah dan Universiti Malaysia Sabah.
































