Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR (Bernama): Pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia diunjurkan meningkat kepada 58 peratus menjelang 2030 berbanding 49 peratus tahun lepas, sekali gus mengatasi unjuran global sebanyak 35 peratus.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan itu mencerminkan kemajuan usaha negara dalam menjayakan agenda SDG, namun masih banyak yang perlu diperkukuh bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh rakyat.
“Bagi saya, SDG bukan sekadar soal angka dan sasaran, tetapi komitmen untuk memastikan pembangunan negara benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan rakyat, tanpa ada sesiapa yang tercicir atau terpinggir,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2026 yang meneliti kemajuan pelaksanaan SDG di Malaysia.
Beliau berkata mesyuarat itu turut meneliti kemajuan 10 Fokus Utama SDG yang menyentuh secara langsung kesejahteraan rakyat, termasuk isu malpemakanan kanak-kanak, kesihatan mental, pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU), kelestarian alam sekitar, ancaman penipuan serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri. — BERNAMA






























