Pasukan ME2023 tiba di Lukla, Nepal sebelum terbang ke EBC dan Kem Dua bagi meneruskan misi SAR Muhammad Hawari.
PUTRAJAYA: Sekretariat Malaysia Everest 2023 (ME2023) akan memanfaatkan tempoh lima hari diberikan pihak berkuasa Nepal bermula kelmarin bagi meneruskan misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim.
Pasukan itu tiba dengan helikopter di Lukla, Nepal kelmarin bersama dua dron berteknologi tinggi yang bakal digunakan untuk menjejaki Muhammad Hawari.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak ketika dihubungi berkata, mereka sepatutnya tiba di Kem Dua Jumaat, namun ditangguhkan akibat keadaan cuaca buruk.
Beliau berkata, dari Lukla pasukannya akan bergerak ke Pheriche dan seterusnya ke Everest Base Camp (EBC) untuk mengambil beberapa peralatan logistik sebelum ke Kem Dua kelmarin.
“Penggunaan dua dron berteknologi tinggi menjadi sandaran sepanjang SAR itu kali ini.
Katanya, misi SAR itu akan dibantu oleh seorang lagi pendaki ME2023, Tiong Tiong Ling Yang, 30, dan Pengurus Pasukan ME2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30.
Azim berkata, dron itu akan dikendalikan dengan bantuan pakar bidang fotografi, malah beberapa malim gunung turut dilantik dan bersiap sedia jika menemui petunjuk barangan digunakan Muhammad Hawari.
“Kita akan manfaatkan kebenaran ihsan 120 jam diberikan pihak berkuasa Nepal dan berharap operasi ini dapat berjalan dengan baik tanpa berhadapan sebarang cuaca buruk,” katanya.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu (Jumaat) selepas keluar meninggalkan Kem Empat pada aras ketinggian 8,000 meter dari aras laut.
Sebelum itu pada Khamis (18 Mei) pukul 3.30 petang waktu Nepal Muhammad Hawari dilaporkan berjaya menawan puncak Everest.































