Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Kerajaan akan memuktamadkan segera gesaan segelintir pihak supaya mempercepat proses semakan semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak melalui geran tahunan yang selama ini tidak dilakukan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk perkara-perkara yang masih belum dilaksana kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, perkara itu akan diputuskan selepas mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor yang dijangka akhir bulan ini di Kuching, Sarawak.
“Untuk memastikan pelaksanaan yang lebih berkesan, jawatan kuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diterus dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
“Diharap segala perkara yang tertangguh dapat dilaksanakan dengan baik. Ini termasuk peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak. Oleh itu, kita harus pastikan ada peningkatan jumlah yang munasabah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan tambahan bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.
“Projek utama seperti Pan Borneo, kemajuannya lebih baik di Sarawak, tetapi banyak tertangguh di Sabah. Oleh itu, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan tambahan dan Menteri Kerja Raya akan memberi penjelasan terperinci,” katanya.































