David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menyambut baik pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Kaamatan dan Gawai 2026 yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah pimpinan Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Pengerusi YPNM Sabah, David Chan berkata, langkah Kerajaan menetapkan kawalan harga melibatkan 17 barangan keperluan makanan merupakan pendekatan tepat dan proaktif dalam membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup menjelang sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Menurutnya, ketika ekonomi dunia masih berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik di Timur Tengah, kenaikan harga bahan api serta kos logistik turut memberi kesan langsung kepada harga makanan import dan barangan keperluan harian.
“Keadaan ini memberi tekanan bukan sahaja kepada pengguna, malah turut menjejaskan peniaga kecil dan sektor peruncitan tempatan.
“Justeru, pelaksanaan skim kawalan harga seperti ini amat penting bagi memastikan rakyat dapat membuat persiapan perayaan dalam suasana lebih terkawal dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
YPNM turut menghargai komitmen KPDN dalam memperkukuh pemantauan pasaran serta membendung aktiviti pencatutan sepanjang musim perayaan.
Menurut David, inisiatif itu membuktikan Kerajaan sentiasa peka terhadap keluhan rakyat dan berusaha memastikan kebajikan pengguna terus dilindungi.
Dalam masa sama, YPNM berharap Kerajaan akan terus memperkenalkan lebih banyak langkah mesra pengguna termasuk pemantauan harga yang lebih menyeluruh, bantuan subsidi bersasar serta pelan jangka panjang memperkukuh sekuriti makanan negara bagi mengurangkan kesan ketidakstabilan ekonomi global.
Beliau turut menyeru para peniaga supaya mematuhi harga kawalan yang ditetapkan serta mempamerkan tanda harga merah jambu seperti diwajibkan di bawah peraturan SHMMP.
“Pengguna juga disaran memainkan peranan dengan melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Tambah beliau, YPNM Sabah akan terus menyokong segala usaha Kerajaan yang memberi manfaat kepada pengguna dan membantu meringankan beban rakyat, khususnya di Sabah.




























