Liza Din
KOTA KINABALU: Isu individu tanpa kewarganegaraan atau stateless di Sabah perlu ditangani secara menyeluruh dengan pendekatan tegas tetapi berperikemanusiaan, tanpa dipolitikkan oleh mana-mana pihak, kata Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Likas, Liza Din.
Beliau berkata, isu tersebut bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sekian lama dan menuntut perhatian serius semua pihak kerana ia melibatkan masa depan generasi, keadilan sosial serta kedaulatan negara.
Menurutnya, terdapat individu yang benar-benar dilahirkan dan membesar di negara ini, namun masih tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Golongan ini akhirnya hidup dalam keadaan terpinggir, sukar mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan dan peluang kehidupan yang lebih baik.
“Mereka seolah-olah wujud, tetapi tidak diiktiraf dalam sistem negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan isu stateless tidak boleh diselesaikan secara terburu-buru atau dijadikan bahan politik demi kepentingan tertentu.
Katanya, sebarang penyelesaian perlu mengambil kira aspek keselamatan negara, integriti sistem kewarganegaraan serta kedaulatan undang-undang.
“Pendekatan yang perlu diambil ialah tegas tetapi berperikemanusiaan. Mereka yang benar-benar layak dan mempunyai asas kukuh perlu diberikan keadilan melalui proses yang telus dan sah di sisi undang-undang.
“Dalam masa yang sama, kita juga perlu memastikan sistem negara tidak dimanipulasi oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan dan agensi berkaitan supaya memperkemaskan sistem pendaftaran kelahiran, mempercepatkan proses semakan dokumen serta menyelesaikan kes-kes tertunggak yang telah berlarutan sekian lama.
“Ia tidak boleh terus dibiarkan tanpa penyelesaian yang jelas, terutama melibatkan kes yang sudah berlarutan puluhan tahun,” katanya.
Liza turut menegaskan bahawa isu stateless tidak seharusnya dijadikan alat politik untuk menakutkan rakyat atau meraih sokongan.
“Apa yang diperlukan ialah keberanian politik untuk menyelesaikan masalah ini secara adil, telus dan berpaksikan kepentingan negara serta rakyat.
“Kita mahu memastikan tiada individu yang benar-benar berhak terus terpinggir, dan pada masa sama kedaulatan negara tetap terpelihara. Itulah keseimbangan yang perlu kita capai,” katanya.
































