Julita bergambar bersama warga KWKKR.
KOTA KINABALU: Kerjasama yang kukuh dalam kalangan warga kementerian kerajaan amat penting bagi memastikan dasar dan program dapat dilaksanakan secara berkesan demi manfaat rakyat.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, hubungan kerja yang baik antara pegawai dan kakitangan memainkan peranan penting dalam memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lancar.
Berucap pada majlis berbuka puasa Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) di sini hari ini, Julita berkata, program seumpama itu memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan untuk berkumpul di luar suasana kerja biasa sekali gus mengeratkan hubungan sesama warga kementerian.
“Hubungan kerja yang baik antara pegawai dan kakitangan amat penting bagi memastikan tugas dan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kerjasama dan semangat berpasukan dalam kementerian merupakan antara faktor utama yang membolehkan dasar serta program kerajaan dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Julita turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan KWKKR atas komitmen serta dedikasi mereka dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kementerian.
Beliau berkata, sumbangan setiap warga kementerian amat dihargai kerana mereka memainkan peranan penting dalam memastikan program dan perkhidmatan kepada rakyat dapat disampaikan dengan berkesan.
Katanya, dedikasi yang ditunjukkan oleh pegawai dan kakitangan mencerminkan komitmen tinggi dalam memikul amanah yang diberikan oleh kerajaan.
Majlis berkenaan turut menjadi platform bagi warga kementerian berinteraksi dalam suasana yang lebih santai sambil mengukuhkan lagi hubungan kerja dalam organisasi.
Program itu juga mencerminkan usaha berterusan kementerian dalam memupuk semangat kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan warga kerja.
Melalui hubungan kerja yang erat, beliau yakin kementerian akan terus dapat melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.


































