Jamawi (tengah), Zul Hadi (dua dari kiri) dan yang lain bergambar kenangan bersama selepas mengadakan lawatan ke pusat pengeluaran benih padi itu.
KOTA BELUD: Pendekatan mini estet padi akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi di Sabah selain mengusahakan tanah-tanah terbiar di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pelbagai agensi pertanian di peringkat negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, Sesi Libat Urus yang dipengerusikannya pagi hari yang sama diadakan bersama Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi Persekutuan, Datuk Zul Hadi Ahmad serta agensi-agensi pertanian yang terlibat.
“Semasa sesi tersebut kita telah membincangkan untuk membangunkan lebih kurang 2,000 hektar lagi tanah terbiar melalui pendekatan mini estet,” katanya ketika ditemu media semasa melawat Pusat Pengeluaran Benih Padi Timbang Menggaris di sini hari ini.

Jamawi (tiga dari kanan), Zul Hadi (dua dari kiri) serta yang lain mendengar penjelasan daripada kakitangan Jabatan Pertanian.
Jamawi berkata, melalui pendekatan mini estet, pembangunan tanah terbiar berkenaan dijangka dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi.
“Dengan mini estet ini, insya-Allah dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi, kita akan dapat membangunkan lebih banyak tanah-tanah terbiar.
“Yang pentingnya, petani-petani kita akan mendapat hasil dan juga dapat mengusahakan tanah mereka yang sudah sekian lama terbiar tanpa penanaman dan juga tanpa pendapatan untuk mereka,” katanya.

Jamawi (tengah) merakamkan gambar bersama dengan semua yang turut serta dalam lawatan ke pusat pengeluaran benih padi, Timbang Menggaris.
Beliau berkata, Kerajaan Sabah akan terus memberikan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan industri padi di Sabah.
“Jadi kita usahakan yang terbaik untuk rakyat Sabah dan kita akan terus memberikan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan industri padi negeri Sabah,” katanya.
Hadir sama ialah ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; Timbalan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Haji Musbah Haji Jamli; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ts. Jifrin Hj. Mohamad; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr. Ramle Haji Kasin bersama para Pegawai dari Pelaksanaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta Agensi dibawah MAFFI dan Kerajaan Persekutuan.


































