Dari kiri: Lim, Dunn, Masidi, Kibat, Lo dan Biusing semasa kunjungan hormat tersebut.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat delegasi syarikat tenaga multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat, ConocoPhillips, di pejabatnya di sini hari ini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn. Kunjungan itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala serta membincangkan perkembangan semasa dan potensi kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas, khususnya melibatkan operasi dan pelaburan syarikat berkenaan di Sabah.
Dalam pertemuan itu, Masidi diberi taklimat mengenai hala tuju korporat dan perancangan masa depan ConocoPhillips, termasuk aspek keselamatan operasi, pematuhan peraturan, kelestarian alam sekitar serta komitmen syarikat dalam memajukan pembangunan mampan industri tenaga.
Masidi turut menegaskan kepentingan kerjasama berterusan antara Kerajaan Sabah dan pemain industri tenaga bagi memastikan sektor tersebut kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, serta memberikan manfaat berterusan kepada rakyat Sabah.
Kunjungan hormat itu mencerminkan hubungan erat antara Kerajaan Sabah dan ConocoPhillips, selain komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik ke arah sektor tenaga yang lebih berdaya saing dan mampan.
Turut hadir ialah Naib Presiden ConocoPhillips Malaysia (Hal Ehwal Kerajaan dan Kejuruteraan Pembangunan), Ian Lim; Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr. Dionysia Kibat; Pengarah Eksekutif (Huluan) SMJ Energy, Datuk Albert Lo; serta Pengarah OGSE dan Korporat SMJ Energy, Terry Biusing.






























