Tun Musa (tiga dari kiri) menerima cenderakenangan daripada Rosli.
KOTA KINABALU: Penjawat awam diingatkan agar berhemah mengurus kewangan masing-masing walaupun kerajaan menambahbaik pinjaman perumahan dan melaksanakan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tahun hadapan.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab berkata kerajaan telah menetapkan kadar keberhutangan maksimum 60 peratus daripada pendapatan sebagai langkah mengawal beban kewangan dalam kalangan penjawat awam.
“Langkah ini penting supaya setiap pegawai dapat menguruskan kewangan dengan baik dan tidak berada di luar kawalan keberhutangan.
“Walaupun kemudahan pinjaman meningkat, penjawat awam perlu menilai tanggungan dan beban sedia ada,” katanya ketika ditemui media semasa kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Selasa.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan diri beliau sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu dilantik 25 September lalu.
Menurut beliau, kerajaan turut menyalurkan bantuan ihsan RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah sebagai tanda penghargaan selain kenaikan gaji yang akan dilaksanakan Januaari ini di bawah fasa kedua SSPA mulai 2026.
“Ini diharap menjadi motivasi untuk mereka terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi,” ujarnya.
Dalam masa sama, Razali mengingatkan para penjawat awam tentang nilai integriti yang menjadi asas penting dalam memastikan pelaksanaan dasar dan projek kerajaan berjalan lancar.
“Berpaksikan kepada integriti, segala cadangan dan pelaksanaan program diharap dapat diurus serta dilaksana dengan sebaik mungkin,” tegasnya.


































