Suasana ketika acara memanah sedang berlangsung.
TAWAU: Sebanyak 36 pingat keseluruhan ditawarkan dalam acara memanah sempena Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 yang berlangsung di Padang MRSM Tawau.
Ketua Teknikal Delegat Memanah, Sulaiman Sadude berkata seramai 189 peserta daripada 20 daerah mengambil bahagian bagi merebut 12 pingat emas, 12 perak dan 12 gangsa.

Sulaiman ketika ditemui media.
“Bagi SAGA XI kali ini, persiapan telah dibuat lebih awal sejak beberapa bulan lalu. Kita dapat lihat beberapa atlet menunjukkan prestasi membanggakan dan wajar diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti SUKMA,” katanya ketika ditemui media pada Isnin.
Menurutnya, antara cabaran utama yang dihadapi atlet sepanjang pertandingan ialah faktor cuaca yang boleh mempengaruhi keputusan.
“Syukur kerana kawasan pertandingan ini sesuai untuk aktiviti memanah dan keadaan angin juga agak membantu atlet,” jelasnya.
Sulaiman turut menyarankan atlet muda agar tidak berasa takut sebaliknya berani mencuba, kekal fokus dan yakin dengan kemampuan diri ketika bertanding.
Antara kategori yang dipertandingkan dalam acara memanah ialah Compound Men, Compound Women, Recurve Men dan Recurve Women.


































