KUALA LUMPUR: Beberapa perjanjian perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan negara-negara ASEAN dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat susulan siri rundingan yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Presidennya, Donald Trump.
Menurut Utusan Malaysia, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer berkata, perbincangan dua hala sejak beberapa bulan lalu tertumpu kepada usaha memperluas akses pasaran, menghapuskan halangan bukan tarif, menangani amalan perdagangan tidak adil serta memperkukuh kerjasama ekonomi dan keselamatan negara.
Katanya, beberapa perjanjian telah diumumkan dan banyak lagi sedang dimuktamadkan, manakala sebahagian lain berada dalam perancangan.
“Trump dan saya berbangga dengan usaha yang telah kami jalankan bersama untuk mencapai perjanjian-perjanjian ini dan kami menjangkakan ia dapat dimuktamadkan dalam bulan-bulan atau bahkan minggu-minggu akan datang untuk sebahagiannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perundingan AEM-USTR sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Jamieson berkata, ASEAN merupakan rakan kongsi penting dan berpengaruh bagi AS dengan gabungan populasi melebihi satu bilion dan jumlah perdagangan barangan serta perkhidmatan yang mencecah kira-kira AS$500 bilion (RM2.1 trilion).
“Washington mengalu-alukan perdagangan dengan ASEAN dan berharap hubungan ini berlangsung secara seimbang dan saling menguntungkan.
“Kami percaya terdapat banyak bidang yang kepentingan kita sejajar dan kita boleh bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama iaitu membawa timbal balik dan keseimbangan kepada sistem perdagangan global,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, agenda perundingan itu termasuk menyemak pelan kerja Pengaturan Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) ASEAN-AS 2024-25 dan Rancangan Kerja Penglibatan Ekonomi (E3) dan mengesahkan pelan kerja 2025 hingga 2026.
Katanya, mereka juga akan bertukar pandangan tentang cabaran besar yang membentuk ekonomi dunia.
“Ia adalah perbualan yang tepat pada masanya, kerana kita semua merasakan cara perubahan, sama ada rantaian bekalan, transformasi digital atau dorongan global untuk pertumbuhan yang lebih hijau dan lebih mampan,” ujarnya.
Tengku Zafrul berkata, AS kini menjadi pasaran eksport terbesar ASEAN di luar rantau, dengan nilai eksport melonjak kepada AS$312 bilion (RM1.3 trilion), iaitu peningkatan hampir 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, hubungan ASEAN–AS merangkumi lebih daripada sekadar dagangan dan pelaburan kerana interaksi rakyat ke rakyat juga semakin pesat.
“Tahun lalu, seramai 4.6 juta warga AS mengunjungi ASEAN. Mereka bukan hanya pelancong, tetapi juga pelajar, usahawan, inovator dan keluarga. Kehadiran ini mengukuhkan lagi ikatan yang menyatukan rantau kita,” katanya.