WELLINGTON: New Zealand melonggarkan syarat pemastautin bagi pekerja asing dalam usaha terbaharu untuk mengukuhkan tenaga kerja dan merancakkan ekonomi negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertumbuhan Ekonomi, Nicola Willis, pada Selasa mengumumkan dua laluan baharu pemastautin yang disasarkan kepada migran berkemahiran dan berpengalaman.
“Pihak perniagaan memberitahu kami bahawa terlalu sukar bagi sesetengah warga asing mendapatkan taraf pemastautin walaupun mereka memiliki kemahiran penting serta pengalaman yang tiada dalam tenaga kerja sedia ada,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Langkah tersebut hadir ketika semakin ramai warga New Zealand meninggalkan negara, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan penyusutan.
Dua laluan pemastautin baharu itu akan diperkenalkan mulai pertengahan 2026 dengan salah satunya dikhususkan untuk pekerja asing dalam sektor berkemahiran yang memenuhi syarat pengalaman serta ambang gaji. Satu lagi bagi pekerja dalam bidang teknikal dan vokasional yang menepati kriteria kelayakan, pengalaman kerja dan kadar upah.
Menteri Imigresen, Erica Stanford berkata, laluan pengalaman kerja berkemahiran diwujudkan bagi membantu majikan mengekalkan pekerja asing berpengalaman yang telahpun menyumbang kepada ekonomi New Zealand dan terbukti bernilai dalam peranan mereka.
Beliau menambah, laluan teknikal itu turut mengiktiraf kepakaran praktikal yang diperlukan dalam industri yang tidak semestinya bergantung pada kelayakan universiti.
Statistik rasmi menunjukkan seramai 73,400 warga New Zealand meninggalkan negara itu antara Julai 2024 hingga Julai 2025, berbanding hanya 25,800 yang pulang untuk menetap.
Bagi menarik lebih ramai pekerja asing, kerajaan sebelum ini turut memperkenalkan beberapa langkah baharu. Antaranya pada Januari lalu, syarat visa pelawat dilonggarkan untuk membolehkan ‘nomad digital’ termasuk pempengaruh media sosial yang dibayar oleh syarikat luar untuk bekerja di New Zealand.
Pada Februari pula, syarat bagi visa Active Investor Plus atau dikenali sebagai ‘visa emas’ turut dipermudahkan, sekali gus membuka laluan pemastautin kepada golongan pelabur asing berpendapatan tinggi.
Langkah terbaharu ini disambut baik oleh sektor perniagaan. Business New Zealand menyifatkan ia akan membantu majikan mengekalkan pekerja berkemahiran, manakala Infrastructure NZ mahu pelaksanaannya dipercepatkan.