Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa Sabah tidak pernah berniat untuk melemahkan atau meruntuhkan Petronas, sebaliknya mahu syarikat minyak negara itu membantu melahirkan entiti baharu yang mampu menjadi pemacu ekonomi negeri.
Menurut beliau, hasrat Sabah adalah untuk memperkukuh kerjasama dengan Petronas melalui prinsip greater say, greater participation dan greater revenue sharing, yang kini dizahirkan menerusi pengukuhan penyertaan negeri dalam industri minyak dan gas.
“Sabah tidak ada niat meruntuhkan Petronas, yang diumpamakan sebagai angsa bertelur emas. Selepas lebih 50 tahun, sudah tiba masanya Petronas membantu melahirkan ‘angsa baharu bertelur emas’ yang dimiliki Sabah sendiri, iaitu SMJ Energy Sdn. Bhd.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Armizan menjelaskan, lonjakan besar bermula selepas pertemuan bersejarah antara Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama kepimpinan Petronas pada 28 Ogos 2021.
Beliau yang turut serta dalam delegasi itu bersama Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata, Sabah telah menyerahkan aspirasi dan tuntutan negeri secara bertulis kepada Petronas – langkah pertama yang memberi kesan besar terhadap hala tuju kerjasama.
“Petronas menyambut baik kerana buat pertama kali mereka menerima kerangka menyeluruh cadangan daripada negeri, bukan sekadar suara dan tuntutan lisan di pelbagai platform,” jelasnya.
Hasil daripada pertemuan itu, tertubuhlah Commercial Collaboration Agreement (CCA) yang ditandatangani pada 7 Disember 2021, sekali gus membuka jalan kepada hubungan lebih bermakna antara Sabah dan Petronas.
CCA memberi ruang kepada Sabah untuk memainkan peranan lebih besar dalam sektor minyak dan gas, termasuk ekuiti dalam pelbagai eksplorasi minyak dan gas, serta meningkatkan peluang penyertaan syarikat kontraktor tempatan.
“Sejak itu, kerjasama rapat dengan Petronas bukan sahaja melibatkan isu royalti atau cukai jualan negeri, malah berkembang luas dengan pegangan dan peningkatan ekuiti. Kini lebih 1,000 syarikat kontraktor tempatan Sabah telah mendapat manfaat,” kata Armizan.
Beliau menambah, SMJ Energy Sdn. Bhd. ditubuhkan sebagai anak syarikat kerajaan negeri untuk menyelaras strategi penyertaan dan pemilikan Sabah dalam keseluruhan rantaian industri – dari upstream, midstream hingga downstream.
Armizan sekali lagi menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa aspirasi Sabah boleh menggugat kedudukan Petronas.
“Kita akan terus bekerjasama erat dengan Petronas. Prinsip kita jelas – Sabah perlu lebih didengar, lebih terlibat, dan lebih mendapat perkongsian hasil,” tegasnya.


































