JAKARTA: Tiga pelajar termasuk seorang pelajar sekolah menengah dan dua mahasiswa maut selepas disyaki menyertai siri demonstrasi yang bertukar ganas di beberapa lokasi sekitar ibu negara Indonesia antara 25 Ogos hingga 1 September lalu.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa dikenali sebagai Andika Lutfi Falah, 17, pelajar SMK Negeri 14 Kabupaten Tangerang; Iko Juliant Junior, pelajar sebuah institusi pengajian swasta di Jakarta; dan Rheza Sendy Pratama, 21, mahasiswa Universitas Amikom Yogyakarta.
Menurut TribunNews, Andika Lutfi hilang selepas menyertai demonstrasi berhampiran Gedung Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI) pada 28 Ogos sebelum ditemui dalam keadaan kritikal dua hari kemudian di RSAL Mintoharjo, Jakarta, dengan kecederaan parah di bahagian kepala, dipercayai akibat hentakan objek tumpul.
Andika disahkan meninggal dunia pada 1 September selepas dua hari koma.
Ibunya memaklumkan Andika tidak membawa telefon bimbit atau kad pengenalan ketika keluar dari rumah, malah memberitahu dia ingin pulang awal bagi menemaninya mendapatkan rawatan.
Keluarga bagaimanapun memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang dan menganggap insiden tersebut sebagai satu ketentuan takdir.
Dalam insiden berasingan di Yogyakarta, Rheza Sendy Pratama pula rebah semasa menyertai demonstrasi di hadapan Kepolisian Daerah Istimewa Yogyakarta (Polda DIY) pada 31 Ogos.
Menurut jurucakap Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Sardjito, Rheza dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan meninggal dunia selepas usaha resusitasi selama 30 minit gagal. Punca kematian dikenal pasti sebagai henti jantung (cardiac arrest).
Keluarga Rheza juga memutuskan untuk tidak menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas jenazah dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat insiden berkenaan.
Maklumat lanjut mengenai kematian Iko Juliant Junior masih belum diperincikan secara rasmi, namun namanya disahkan sebagai seorang daripada sembilan individu yang terkorban dalam rangkaian demonstrasi tersebut, yang semakin mendapat perhatian masyarakat awam dan pemimpin tempatan.
Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Daerah Istimewa Yogyakarta, Nuryadi, tampil menggesa siasatan dijalankan secara telus dan terbuka, khususnya berkaitan tahap keselamatan dan penggunaan kekerasan oleh pihak keselamatan semasa mengendalikan protes awam.


































