Kereta-kereta dan bangunan hangus ketika protes di Makassar, Sulawesi Selatan.
JAKARTA: Parti-parti politik di Indonesia bersetuju membatalkan beberapa elaun dan keistimewaan ahli Parlimen, kata Presiden Prabowo Subianto pada Ahad, sebagai satu konsesi besar kepada bantahan anti-kerajaan yang telah mengorbankan lima nyawa.
Menurut Utusan Malaysia, protes yang tercetus pada Isnin lalu terhadap gaji dan elaun perumahan ahli Parlimen yang dianggap berlebihan berkembang menjadi rusuhan pada Khamis, selepas seorang penunggang motosikal perkhidmatan e-hailing terbunuh dirempuh kenderaan perisai polis di lokasi tunjuk perasaan.
Insiden itu menyebabkan neberapa rumah ahli parti politik dan kemudahan awam dirosakkan dan dibakar dalam sejumlah siri protes ganas.
Dalam sidang media di Istana Presiden, Prabowo berkata beliau sudah mengarahkan tentera dan polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap perusuh dan perompak, sambil memberi amaran sesetengah tindakan itu menunjukkan unsur “keganasan” dan “pengkhianatan.”
“Pimpinan di Parlimen menyatakan mereka akan membatalkan beberapa dasar, termasuk jumlah elaun untuk ahli Parlimen dan juga moratorium perjalanan kerja ke luar negara.
“Kepada pihak polis dan tentera, saya telah mengarahkan supaya tindakan paling tegas diambil terhadap perosakan kemudahan awam, penjarahan rumah individu dan pusat ekonomi, mengikut undang-undang,” katanya.
Protes ini merupakan ujian terbesar setakat ini bagi kerajaan Prabowo yang baru hampir setahun mentadbir, dan yang sebelum ini hampir tidak menghadapi sebarang tentangan politik sejak mengambil alih kuasa pada Oktober lalu


































