Prabowo Subianto
JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto membatalkan lawatan yang dirancang ke China susulan protes semakin merebak keluar dari ibu kota Jakarta.
Menurut Utusan Malaysia, Prabowo dijadualkan menghadiri perarakan “Victory Day” di China pada 3 September sempena memperingati ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua, iaitu selepas Jepun menyerah kalah secara rasmi.
Protes tersebut, yang merupakan ujian besar pertama bagi kerajaan Prabowo yang hampir setahun mentadbir, bermula di Jakarta minggu ini berikutan isu gaji ahli parlimen, dan menjadi lebih tegang selepas sebuah kenderaan polis melanggar dan membunuh seorang penunggang motosikal.
“Presiden mahu terus memantau secara langsung situasi di Indonesia… dan mencari penyelesaian terbaik.
“Oleh itu, presiden memohon maaf kepada kerajaan China kerana tidak dapat menghadiri jemputan tersebut,” kata jurucakap presiden, Prasetyo Hadi, dalam satu kenyataan video pada hari Sabtu.
Satu lagi faktor pembatalan lawatan itu ialah sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadualkan berlangsung pada bulan September, tambah Prasetyo.
Pada hari Sabtu, penunjuk perasaan telah menyebabkan kebakaran di bangunan parlimen negeri di tiga wilayah iaitu Nusa Tenggara Barat, kota Pekalongan di Jawa Tengah, dan kota Cirebon di Jawa Barat, menurut laporan media tempatan.
Media tempatan Detik melaporkan bahawa penunjuk perasaan menjarah peralatan pejabat parlimen di Cirebon, manakala gas pemedih mata telah digunakan oleh polis bagi menyuraikan orang ramai di Pekalongan dan Nusa Tenggara Barat.
Empat orang terbunuh pada hari Jumaat dalam satu insiden serangan bakar (arson) terhadap bangunan parlimen di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan, menurut agensi pengurusan bencana Indonesia.
Agensi berita kerajaan Antara melaporkan mangsa terperangkap dalam bangunan yang terbakar, dan agensi bencana menyatakan dua orang lagi cedera selepas terjun keluar dari bangunan untuk menyelamatkan diri.
Media tempatan metrotvnews.com turut melaporkan seorang lagi maut akibat kebakaran di bangunan parlimen Makassar. Namun, maklumat ini belum dapat disahkan secara bebas.
Protes turut berlaku di pulau peranginan Bali, menyaksikan gas pemedih mata turut digunakan terhadap penunjuk perasaan.


































