LONDON: Satu arus laut utama yang berperanan menghalang sebahagian kawasan dunia daripada membeku dilaporkan berisiko runtuh sepenuhnya dalam tempoh beberapa dekad akan datang, sekali gus mencetuskan kebimbangan saintis terhadap kesan buruk yang bakal dihadapi bumi.
Menurut Utusan Malaysia, satu kajian terbaharu oleh pasukan penyelidik dari Belanda, Jerman dan Britain mendedahkan, arus Atlantik yang dikenali sebagai Atlantic Meridional Overturning Circulation (AMOC) berkemungkinan besar akan lumpuh sepenuhnya selepas tahun 2100 sekiranya pelepasan gas rumah hijau kekal pada tahap tinggi.
AMOC yang diibaratkan sebagai ‘tali sawat gergasi’ mengalirkan air panas dari kawasan tropika ke Lautan Atlantik Utara, dengan arus Gulf Stream menjadi nadi utama yang membawa haba ke sepanjang Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).
Sistem ini bukan sahaja membantu mengawal suhu musim sejuk di Eropah Barat Laut dan Timur Laut AS, malah mempengaruhi pola hujan tropika di seluruh dunia.
Jika AMOC runtuh, kawasan Pantai Timur AS bakal berdepan musim sejuk lebih ekstrem, musim panas lebih kering, kenaikan paras laut mendadak serta gangguan terhadap industri perikanan dan fenomena itu turut dijangka memberi kesan ketara terhadap laluan dan intensiti taufan di rantau berkenaan.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Research Letters itu mendedahkan, dalam kesemua sembilan model simulasi yang menggunakan tahap pelepasan gas rumah hijau tinggi, AMOC akan berhenti sepenuhnya menjelang tahun 2100.
Menurut penyelidik utama, Sybren Drijfhout dari Royal Netherlands Meteorological Institute, kelemahan arus laut itu berpunca daripada kegagalan air permukaan sejuk dan masin di Atlantik Utara untuk tenggelam dan bercampur dengan air laut dalam sekitar tahun 2050.
“Kami dapati peredaran laut dalam di Atlantik Utara perlahan secara drastik menjelang 2100 dan terhenti sepenuhnya selepas itu dalam semua senario pelepasan tinggi, malah ada juga dalam senario pelepasan sederhana dan rendah. Ini menunjukkan risikonya lebih serius daripada yang disangka,” jelasnya.
Kesan runtuhnya AMOC dijangka mengurangkan aliran haba ke kawasan utara sebanyak 20 hingga 40 peratus, menyebabkan suhu di Kanada, Scandinavia dan utara Amerika Syarikat merosot mendadak sehingga hampir tiada pelepasan haba ke atmosfera.
Penyelidik juga memberi amaran model semasa belum mengambil kira tambahan air tawar daripada pencairan glasier di Greenland yang dijangka mempercepatkan lagi proses kelemahan arus tersebut.
“Faktor air tawar ini berpotensi menolak sistem ini ke ambang runtuh dengan lebih cepat. Justeru, pengurangan pelepasan gas rumah hijau mesti dilakukan segera,” tegas Rahmstorf.
Kajian itu menjadi peringatan jelas kegagalan mengekang pemanasan global boleh membawa kepada perubahan iklim drastik yang akan memberi kesan berantai terhadap kehidupan manusia di seluruh dunia.


































