PETALING JAYA: Siapa bakal menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada kongres pemilihan badan induk itu pada tahun hadapan kini menjadi tanda tanya.
Menurut Utusan Malaysia, jawatan Presiden FAM ketika kini dipangku oleh Timbalan Presidennya, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi selepas Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub melepaskan jawatan yang disandang.
Bagaimanapun, berdasarkan ‘nasib’ yang diterima Mohd. Joehari, dijangka tiada individu atau tokoh korporat yang berani memikul tanggungjawab besar menerajui badan induk itu.
Perlu diakui bahawa FAM kini memerlukan individu yang lebih berpengaruh serta memiliki sumber kewangan yang kukuh untuk memperkukuhkan program dan hala tuju badan induk itu.
Pemerhati sukan tempatan, Mohd. Sadek Mustafa turut mengakui, situasi semasa menyaksikan tiada individu atau tokoh korporat yang berani untuk terjun ke dalam FAM.
“Saya rasa orang korporat tidak akan masuk FAM kerana organisasi itu sebenarnya bermasalah. Kalau orang nak masuk ambik tempat Mohd. Joehari dia kena fikir banyak perkara.
“Dahulu, kita namakan individu-individu tertentu, namun tiada yang berani bertanding semasa kongres pemilihan FAM Februari lalu. Perkara ini sudah kita jangka, tiada siapa yang berani,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, FAM mengesahkan Mohd. Joehari telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Presiden FAM dan Mohd. Yusoff memangku jawatan itu berkuatkuasa serta merta.


































