Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Sebanyak 83,511 kandungan di platform TikTok dan Telegram diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak Januari 2022 hingga Julai lalu kerana mengandungi unsur lucah, palsu, sumbang, mengancam atau jelik melampau.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 80,657 kandungan di platform TikTok dan 2,854 kandungan di platform Telegram yang diturunkan oleh penyedia perkhidmatan berkenaan atas permohonan MCMC.
Katanya, kesemua kandungan berkenaan didapati melanggar peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Setiap permohonan untuk menurunkan kandungan adalah dilakukan selaras dengan lunas perundangan sedia ada bagi memastikan kebebasan bersuara rakyat tidak disalahgunakan.
“Langkah ini juga diambil tanpa mengira latar belakang atau pegangan politik individu atau entiti tertentu bagi mengimbangi hak individu dan kepentingan awam demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai jumlah akaun TikTok dan Telegram yang digantung kerana mengkritik kerajaan.
Fahmi berkata, MCMC menjalankan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan berdasarkan perundangan di bawah Akta 588 serta undang-undang sedia ada yang lain.
Menurutnya, setiap tindakan yang dilaksanakan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang berbentuk permohonan kepada penyedia perkhidmatan dalam talian dan tertakluk kepada penilaian serta pertimbangan mereka berdasarkan garis panduan komuniti yang ditetapkan.

































