MUAR: Seorang pengamal perubatan tradisional atau bomoh, berputih mata apabila wang RM180,066 miliknya lebur diperdaya skim pelaburan ‘bitcoin’, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, berusia 49 tahun, semalam.
“Mangsa, seorang perawat tradisional telah dihubungi oleh suspek seorang wanita melalui aplikasi whatsapp pada 1 Ogos 2025.
“Suspek menawarkan skim pelaburan ‘bitcoin’ dengan pulangan keuntungan antara 20 sehingga 40 peratus.
“Mangsa kemudiannya diarahkan mendaftar di sebuah laman web pelaburan dan berhubung dengan seorang pegawai khidmat pelanggan untuk memulakan pelaburan.
“Mangsa telah membuat lima transaksi bermula 8 Ogos sehingga 12 Ogos 2025 dengan pemindahan wang ke dua akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan
RM180,066,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, mangsa kemudiannya dimaklumkan bahawa keuntungan pelaburannya mencecah RM391,997.24.
Namun, mangsa diminta membuat pembayaran tambahan sebelum wang tersebut dapat dikeluarkan. Mangsa mula curiga dan menyedari dirinya telah ditipu.
Kata beliau, menurut mangsa, wang berkenaan adalah hasil simpanannya.
Raiz Mukhliz berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, dan sentiasa mengikuti nasihat pihak berkuasa mengenai modus operandi scammer di laman-laman media sosial.






























