NEW YORK: Lelongan meteorit Marikh dengan harga mencecah rekod AS$5.3 juta (RM23.3 juta) di Sotheby’s New York baru-baru ini mencetuskan persoalan mengenai asal-usulnya serta perdebatan tentang siapa yang sebenarnya berhak memiliki batu yang jatuh dari angkasa itu.
Menurut Utusan Malaysia, batu seberat 25 kilogram itu adalah meteorit Marikh terbesar pernah ditemui di bumi, menurut senarai lelong Sotheby’s. Ia ditemui pada November 2023 di gurun luas Sahara, Niger.
Kerajaan Niger mengumumkan akan menjalankan siasatan susulan lelongan tersebut dengan mengatakan ia mempunyai semua ciri perdagangan antarabangsa secara haram.
Pada Jumaat lalu, kerajaan menggantung eksport batu berharga dan meteorit sehingga diberitahu kelak.
Sotheby’s menolak tuduhan itu, menegaskan meteorit berkenaan dieksport dari Niger dan diangkut mengikut semua prosedur antarabangsa yang relevan.
Bagaimanapun, susulan kontroversi itu, semakan semula kes tersebut sedang dijalankan, kata jurucakap Sotheby’s kepada AFP.
“Meteorit ini telah menempuh perjalanan sejauh 225.31 juta kilometer di angkasa sebelum memasuki atmosfera bumi dan terhempas di Gurun Sahara,” menurut keterangan lelongan Sotheby’s.
Selepas ditemui, batu berwarna oker dan berbentuk bergerigi itu dijual kepada seorang peniaga antarabangsa, dipamerkan seketika di Itali, sebelum disenaraikan dalam katalog lelongan di New York.
Ahli paleontologi Amerika Syarikat (AS), Paul Sereno yang telah lama bekerjasama dengan pihak berkuasa Niger berkata, semua petunjuk menunjukkan batu itu meninggalkan negara berkenaan secara haram.
“Semua orang tidak dikenali daripada penemu, peniaga, pembeli, semuanya tidak dikenali.
“Kalau mereka menangkap meteorit ini di udara sebelum ia jatuh di mana-mana negara, bolehlah mereka mendakwa pemilikan tetapi malangnya, ia jatuh di Niger. Jadi, ia milik Niger,” tegasnya.






























