Dr. Zulkifli Hasan-Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Sebanyak 204 aduan berkaitan penipuan pakej umrah diterima Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dari 2024 hingga Mei lalu, membabitkan anggaran kerugian sebanyak RM3.6 juta.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 58 aduan berkaitan penipuan haji turut direkodkan dengan kerugian melebihi RM600,000.
Beliau berkata, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan untuk membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab itu, termasuk penubuhan jawatankuasa khas melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Motac dan Tribunal Tuntutan Pengguna.
“Kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu ini. Alhamdulillah, banyak kes penipuan pakej haji dan umrah berjaya ditangani dengan baik.
“Contohnya, pada awal Jun lalu, seramai 80 individu terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah dijanjikan visa haji oleh ejen tidak bertanggungjawab.
“Kita berjaya menyekat jemaah daripada berlepas ke Arab Saudi dan kedua-dua suspek yang terlibat sudah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya di Dewan Rakyat, kelmarin.
Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) mengenai masalah penipuan pakej haji dan umrah serta jumlah kerugian yang ditanggung bagi 2024 dan 2025.
































