PENAMPANG: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran sebuah restoran di Jalan Bundusan, di sini, petang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Timbalan Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang.
Menurut beliau, sejurus menerima laporan, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan awal serta mengawal keadaan di tempat kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan terapung di dalam longkang,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Beliau berkata, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah turut hadir bagi membantu siasatan terperinci di lokasi kejadian.
“Berdasarkan penilaian awal di lokasi, tiada sebarang unsur jenayah yang dapat dikaitkan dengan kejadian ini setakat ini. Oleh itu, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Identiti mangsa serta waris masih dalam proses pengesanan oleh pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, Erwansyah menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.
“Kerjasama orang awam amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Ketua Polis Balai Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab. Rahman di talian 016-4492215 atau mana-mana balai polis berhampiran.
































