Jahid bersama Dr. Bonaventure dan kepimpinan Bahagian mengabadikan gambar kenangan bersama ahli PBS yang hadir dalam program tersebut.
TAMPARULI: Semangat kebangkitan dan perpaduan jelas dirasai dalam Program “Mirumo-rumo Bersatu” di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telibong, apabila pemimpin dan akar umbi Parti Bersatu Sabah (PBS) berganding bahu memperkukuh gerak kerja menjelang pilihan raya akan datang.
Program tersebut bertujuan menghargai komitmen serta usaha semua ahli dan jentera PBS yang telah bekerja keras sepanjang kempen PRN lalu, selain menjadi platform mempererat hubungan sesama ahli parti.
Dalam ucapannya, Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Datuk Seri Jahid Jahim menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Dr. Bonaventure Boniface yang disifatkan sebagai tenang, sabar dan matang dalam menghadapi cabaran politik.
Jahid turut memuji sikap kepimpinan yang tidak menyalahkan keadaan walaupun berdepan situasi sukar, sebaliknya kekal fokus mencari jalan penyelesaian demi kepentingan rakyat dan parti.
Beliau menegaskan bahawa kekalahan dalam pilihan raya sebelum ini bukanlah penamat, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran untuk bangkit semula dengan lebih kuat.
“Perjuangan tidak boleh terhenti. Kita mesti terus konsisten dan tidak mudah putus asa,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru semua ahli dan penyokong agar melupakan konflik lama, memperkukuhkan perpaduan serta mengamalkan semangat “mirumo-rumo” demi kestabilan parti.
“Fokus juga perlu diberikan kepada usaha menarik pengundi baharu, khususnya golongan muda berusia 18 hingga 20 tahun yang dilihat sebagai penentu kemenangan,” katanya.
Tambah beliau, matlamat utama kini adalah jelas iaitu merampas semula kerusi N.14 Tamparuli untuk PBS.
Sementara itu, Dr. Bonaventure dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua jentera parti atas sokongan padu yang diberikan sepanjang PRN lalu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jahid atas sumbangan besar pemimpin itu kepada kawasan Tamparuli serta mendoakan agar beliau terus diberikan kesihatan yang baik.
Dr. Bonaventure turut menegaskan bahawa PBS perlu terus berjuang dan bangkit dengan lebih kuat pada masa akan datang.
Pada program sama, beliau menyatakan kesediaannya untuk menawarkan diri sebagai Ketua Bahagian PBS Tamparuli, dengan mengambil kira sokongan yang diberikan oleh Jahid.
“Saya bersedia untuk memimpin PBS Bahagian N.14 Tamparuli ke arah yang lebih kuat dan bersatu,” ujarnya.
Turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Setiausaha Bahagian, Ronny Sundang yang merakamkan penghargaan kepada semua ketua cawangan atas komitmen tinggi sepanjang kempen pilihan raya.
Beliau menjelaskan bahawa program Mirumo-rumo Bersatu ini memberi fokus kepada lawatan ke setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai usaha memperkukuhkan hubungan akar umbi.
Menurut beliau, PDM Telibong ini merupakan lawatan PDM ke-10 daripada keseluruhan 11 PDM yang dirancang, menunjukkan komitmen berterusan dalam mendekati jentera di setiap kawasan.
Ronny juga menzahirkan penghargaan terhadap kerja keras jentera yang telah menyumbang kepada pencapaian undi kedua terbanyak di kawasan tersebut.
Dengan sokongan Jahid, beliau turut mencadangkan agar Dr. Bonaventure diangkat sebagai Ketua Bahagian PBS N.14 Tamparuli.
Program tersebut jelas mencerminkan kesatuan dan semangat baharu dalam kalangan ahli PBS Tamparuli, sekali gus memberi isyarat bahawa parti itu bersedia untuk bangkit dan kembali merampas kerusi N14 pada pilihan raya akan datang.
































