Seorang individu dirakam percakapan berhubung kes penyebaran berita palsu pembekalan diesel ke Filipina.
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang didakwa menyebarkan berita palsu berhubung pembekalan bahan api diesel ke Filipina.
Pihak berkuasa mengesahkan diesel berkenaan adalah milik syarikat perdagangan Vitol dan bukannya milik Petronas atau Kerajaan.
Individu terbabit telah dipanggil memberi keterangan pada Jumaat, manakala MCMC turut menyita peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam.
































