KUALA LUMPUR: Cadangan pembangunan bersama antara Malaysia dan Indonesia membabitkan blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi masih belum dimuktamadkan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kedua-dua pihak masih meneroka kerjasama tersebut, malah setakat ini tiada butiran khusus yang diperincikan sama ada dari Malaysia atau Indonesia.
“Ini merupakan usaha-usaha awal kedua-dua pemimpin dalam mencari penyelesaian terbaik. Sebarang keputusan yang diambil perlulah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya di Dewan Rakyat, kelmarin.
Terdahulu, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) meminta kementerian menjelaskan mengenai kebimbangan berhubung kedaulatan maritim negara serta jaminan agar Sabah tidak terpinggir dalam pelaksanaan kerjasama tersebut.
Mohamad berkata, Malaysia kekal dengan pendirian bahawa blok ND6 dan ND7 terletak dalam kawasan kedaulatan negara berdasarkan undang-undang antarabangsa dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002.
“Keputusan tersebut yang memberi kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia, mengabsahkan hak kawasan maritim negara yang diunjurkan dari kedua-dua pulau berkenaan.
“Rujukan kepada kawasan ini yang lebih tepat adalah Laut Sulawesi dan bukannya ‘Ambalat’ seperti diguna pakai oleh pihak Indonesia,” katanya.
Dalam usaha menyelesaikan isu tuntutan bertindih ini, jelas Mohamad, rundingan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia telah dijalankan melalui Mesyuarat Teknikal Pembatasan Sempadan Maritim yang ditubuhkan sejak 2005.
“Malaysia komited memuktamadkan sempadan secara aman melalui mekanisme diplomatik, undang-undang dan teknikal sedia ada,” tambahnya.
































