BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menegaskan semua rakan dalam gabungan pemerintah masih menyokong kerajaannya meskipun berdepan tekanan untuk meletakkan jawatan susulan kontroversi berkaitan hubungan diplomatik dengan Kemboja.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kenyataan pada Ahad, Paetongtarn berkata pentadbirannya akan terus berusaha memastikan kestabilan politik demi menangani ancaman keselamatan negara.
Kepimpinan Paetongtarn, yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri berpengaruh, Thaksin Shinawatra mula dipersoalkan selepas tersebarnya rakaman audio perbualan telefon beliau dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.
Dalam rakaman itu, beliau dilihat seolah-olah tunduk kepada Hun Sen dan mengkritik seorang pegawai kanan tentera Thailand, satu tindakan yang mencetuskan kemarahan pihak lawan dan bekas sekutu politik.
Susulan kebocoran audio tersebut, Parti Bhumjaithai, antara komponen utama gabungan pemerintah mengumumkan penarikan diri sekali gus melemahkan kedudukan majoriti parlimen yang dimiliki parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn.
“Negara mesti terus mara ke hadapan. Thailand mesti bersatu dan melaksanakan dasar untuk menyelesaikan masalah rakyat,” tulis Paetongtarn di platform X selepas mengadakan mesyuarat dengan rakan-rakan gabungan termasuk Parti United Thai Nation (UTN)
Terdahulu, UTN dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menuntut peletakan jawatan beliau sebagai syarat menyokong kerajaan.
Paetongtarn turut menegaskan bahawa kerajaan dan angkatan tentera negara itu berkongsi pendirian yang sama dalam menyokong prinsip demokrasi serta mematuhi peruntukan perlembagaan.
Pemimpin muda berusia 38 tahun itu baru sahaja dilantik sebagai perdana menteri tahun lalu dan dianggap masih baharu dalam arena politik.
Sementara itu, kumpulan aktivis yang sebelum ini sering menganjurkan protes besar terhadap pentadbiran keluarga Shinawatra, telah menjadualkan demonstrasi di Bangkok pada 28 Jun ini untuk mendesak peletakan jawatan beliau.


































