GEORGE TOWN: Dua lelaki tempatan masing-masing berusia 19 dan 20 tahun ditahan selepas disyaki menumbuk dan menggigit seorang anggota polis yang sedang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang apabila anggota terbabit yang bertugas di pos pengawal menahan dua lelaki tersebut yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan pintu pagar IPK berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua suspek disyaki berada dalam keadaan mabuk dan mereka kemudian dibawa masuk ke dalam pos pengawal untuk siasatan lanjut.
“Namun, ketika berada di dalam pos tersebut, kedua-dua suspek bertindak agresif dengan menumbuk pipi serta menggigit dada anggota polis terbabit sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan bengkak di mata kiri dan lebam di dada,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Abdul Rozak, selain mencederakan mangsa, suspek juga mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota berkenaan sebelum ditahan di lokasi kejadian.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 25 Jun bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak sopan terhadap penjawat awam,” katanya.


































