PENAMPANG: Wakil daerah kecil Tamparuli, Atitih Yati Robert, 26, yang dinobatkan sebagai Unduk Ngadau 2025 berkata, kemenangan itu amat bermakna buat dirinya setelah mencuba buat kali kedua selepas percubaan pertamanya lapan tahun lalu.
Ketika itu beliau mewakili daerah Kota Marudu.
“Kemenangan ini sangat bermakna, bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua yang sentiasa menyokong saya.
“Saya tahu ramai yang kecewa pada tahun 2017. Waktu itu saya menang Miss Popular Facebook, tetapi tidak berjaya pun masuk ke top 7.
“Selepas itu ada yang berkata, ‘Tolong kembali, kami mahu lihat awak beraksi semula.’ Jadi kemenangan ini saya bawa daripada semangat yang saya simpan sejak lapan tahun lalu,” katanya kepada media selepas Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri 2025, pada Sabtu.

Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berjaya menewaskan 50 peserta lain dalam pertandingan ratu cantik berunsur tradisional yang menjadi acara kemuncak sambutan Pesta Kaamatan, bagi memperingati pengorbanan tokoh legenda Huminodun.
Sebagai juara, Atitih menerima wang tunai RM17,500, mahkota rasmi Unduk Ngadau 2025, trofi, selempang manik buatan tangan, biasiswa bernilai RM35,000 daripada North Borneo University College (NBUC), biasiswa daripada ATI College, bekalan beras selama setahun tajaan Sazarice, produk penjagaan diri, tiket penerbangan pergi balik ke Korea Selatan tajaan Trippo, serta pelbagai hadiah sampingan lain.
Naib juara disandang oleh wakil Tambunan, Elka Alika Pijeh, 23, yang menerima wang tunai RM13,000, trofi, biasiswa NBUC bernilai RM30,000, bekalan beras serta hadiah tajaan lain.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh wakil Kiulu, Celarin Jenny, 25, yang membawa pulang wang tunai RM10,500, biasiswa NBUC bernilai RM20,000, bekalan beras, penginapan tiga hari dua malam di Taman Badukan Riverside Resort, dan pelbagai hadiah tambahan lain.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin, disaksikan oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag, serta Pengerusi Bersama Unduk Ngadau Kaamatan, Datuk Joanna Datuk Kitingan dan Dr Mary Gambidau.

Dalam pusingan soal jawab pertama melibatkan 15 peserta terbaik, Atitih mencuri perhatian apabila fasih berbahasa Dusun ketika berkongsi pengalamannya membuat coklat semasa menyertai pameran koko di Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025.
Beliau turut mencuit hati penonton apabila berseloroh bahawa coklat buatannya habis dimakan walaupun tidak memenangi sebarang hadiah.
Pada segmen pengetahuan am melibatkan tujuh peserta terbaik, Atitih menjelaskan kepentingan upacara Magavau dalam memastikan kelancaran pelbagai majlis penting termasuk sambutan Kaamatan.
Melengkapkan senarai tujuh peserta terbaik ialah Rini Suwanda Jukilin (Beluran), Steavaynie Ginadus (Beaufort), Jenylin Janis (Ranau) dan Evanatie Sannie (Bandaraya Kota Kinabalu).


































