WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat memberikan kemenangan besar kepada Presiden Donald Trump apabila membenarkan pentadbirannya membatalkan status sah bagi lebih 500,000 pendatang dari empat negara Caribbean dan Amerika Latin.
Menurut Utusan Malaysia, keputusan itu menjejaskan seramai 532,000 individu dari Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela yang berada di AS di bawah program ‘parol kemanusiaan’ selama dua tahun yang diperkenalkan oleh bekas Presiden Joe Biden dengan mereka berdepan risiko dihantar pulang.
Ini merupakan kali kedua Mahkamah Agung menyebelahi Trump dalam usaha agresifnya untuk mengusir berjuta-juta pendatang tanpa kewarganegaraan menerusi pelbagai pengumuman dasar yang mencetuskan tindakan undang-undang.
Namun, keputusan itu turut mengundang kritikan keras daripada dua hakim liberal yang menyatakan enam hakim konservatif jelas melakukan kesilapan dalam membuat keputusan tersebut dan gagal menilai akibat yang ‘menghancurkan’ terhadap ribuan individu yang terlibat.
“Hari ini, mahkamah jelas telah membuat penilaian yang silap,” tulis Hakim Ketanji Brown Jackson dan Hakim Sonia Sotomayor dalam hujahan pembangkang mereka.
Kedua-dua hakim itu menegaskan pendatang terbabit berdepan kemungkinan dipisahkan daripada keluarga serta dihantar pulang ke negara asal yang tidak selamat atau terpaksa terus menetap secara tidak sah dengan risiko diusir pada bila-bila masa.
Program yang dibatalkan itu sebelum ini membenarkan sehingga 30,000 pendatang dari empat negara tersebut memasuki AS setiap bulan selama dua tahun yang kesemuanya dari negara yang mencatat rekod buruk dalam hak asasi manusia.
Namun dalam pendekatan keras terhadap imigresen, pentadbiran Trump mengambil langkah menamatkan perlindungan tersebut dan awal bulan ini memperoleh keputusan Mahkamah Agung yang membenarkan pengusiran 350,000 warga Venezuela.
Kes terbaharu ini berpunca daripada tindakan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem yang membatalkan lanjutan 18 bulan bagi status perlindungan sementara pendatang terbabit.
Jabatan itu memberikan tempoh 30 hari kepada pendatang untuk meninggalkan negara tersebut kecuali jika mereka memiliki perlindungan undang-undang di bawah program lain.


































