BEIJING: China melarang import daging ayam dari Brazil selepas wabak selesema burung dikesan di negara pengeksport terbesar dunia itu, sekaligus menyebabkan gangguan terhadap perdagangan bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.26 bilion).
Larangan itu meliputi import langsung dan tidak langsung bagi semua daging ayam dan produk berkaitan dari Brazil bagi mengelakkan kemasukan selesema burung, kata agensi kastam China dalam satu kenyataan.
Menurut Utusan Malaysia, agensi tersebut turut mengarahkan supaya semua bahan buangan haiwan dan produk berkaitan yang tiba dari Brazil menjalani proses nyahjangkit.
Langkah tegas daripada China yang merupakan pembeli utama daging ayam Brazil mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan eksport negara Amerika Selatan itu.
Langkah ini diambil ketika kedua-dua negara sedang berusaha memperkukuh hubungan dua hala di tengah perang perdagangan global yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Awal bulan ini, Brazil telah menghentikan penghantaran ayam ke China dan Kesatuan Eropah (EU) selama 60 hari selepas kes pertama selesema burung berpatogenik tinggi dikesan di sebuah ladang komersial di negara itu.
Brazil yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada eksport daging ayam dunia telah mengeksport lebih 10 peratus produknya ke China pada 2024, menurut data Jabatan Pertanian Brazil.
Nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara ini dianggarkan sekitar AS$1.5 bilion (RM6.38 bilion) pada 2024, menurut data kastam China.


































