David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah) menyeru Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar menghentikan amalan bersaing secara langsung dengan sektor swasta, sebaliknya mengamalkan pendekatan kerjasama strategik dan inklusif demi kemajuan ekonomi negara.
Pengerusinya, David Chan berkata, sektor swasta memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara melalui penciptaan peluang pekerjaan, inovasi serta sumbangan cukai korporat, yang kini pada kadar 26 peratus.
“Kerajaan menerima manfaat besar daripada aktiviti ekonomi sektor swasta. Maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyokong dan memperkukuhkan ekosistem perniagaan tempatan, bukan menyainginya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, GLC sepatutnya tidak melihat sektor swasta sebagai pesaing, sebaliknya sebagai rakan strategik dalam pembangunan ekonomi negara.
“Tujuan asal penubuhan GLC adalah untuk mengisi kekosongan dalam ekonomi, bukannya untuk mendominasi atau menyingkirkan perniagaan tempatan. GLC seharusnya bertindak seperti syarikat induk, manakala sektor swasta sebagai anak syarikat yang tangkas, bekerjasama ke arah pertumbuhan dan inovasi bersama,” katanya.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap trend semasa yang menunjukkan GLC mula mengambil alih sektor komersial yang pada asalnya dibangunkan oleh pemain swasta, hingga menyebabkan ramai usahawan tempatan tersisih daripada pasaran.
“Jika trend ini berterusan, ia bukan sahaja akan melemahkan semangat keusahawanan, malah mengurangkan penciptaan pekerjaan dan akhirnya menjejaskan asas ekonomi negara,” tegasnya.
Chan menegaskan bahawa negara memerlukan kerjasama semua pihak untuk membina masa depan ekonomi yang mampan dan inklusif.
“Tiada pemimpin yang mampu berdiri sendiri tanpa sokongan pasukan. Begitu juga negara tidak akan mampu maju jika institusi awam dan GLC tidak menghargai peranan penting sektor swasta,” katanya.
Sehubungan itu, Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah) menggesa kerajaan untuk menilai semula peranan GLC agar berfungsi sebagai pelengkap dan bukannya pesaing kepada sektor swasta. Kerajaan juga disaran memberi lebih banyak sokongan dan insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tempatan.
Selain itu, dasar-dasar yang memupuk kerjasama strategik antara GLC dan syarikat swasta perlu digalakkan, di samping menegakkan amalan persaingan sihat serta membanteras monopoli dalam semua sektor.
“Ekonomi yang sihat hanya dapat dicapai apabila sektor awam dan sektor swasta berkembang bersama, saling menghormati dan bekerjasama demi kesejahteraan negara,” katanya.
Yayasan itu turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam membina dasar yang lebih mesra pengguna dan mesra usahawan pada masa depan.


































