PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia apabila Presiden Donald Trump mengumumkan langkah-langkah baru yang meluas sebagai sebahagian daripada tindakan ‘Hari Pembebasan’ beliau.
Menurut Utusan Malaysia, Malaysia berada di kedudukan ke-11 dalam carta tarif timbal balik yang beliau pegang ketika membuat pengumuman yang dinanti-nantikan dari Rose Garden di Washington hari ini.
Carta tersebut menyatakan bahawa Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas Amerika Syarikat.
Oleh itu, tarif timbal balik terhadap Malaysia dikira pada separuh daripada kadar yang sepatutnya dikenakan oleh Malaysia ke atas Amerika Syarikat.
Menduduki senarai teratas adalah China, Kesatuan Eropah, Vietnam, Taiwan, Jepun, India, Korea Selatan, Thailand, Switzerland, dan Indonesia.
Menurut laporan Reuters, Trump memberi alasan tindakannya itu hanya bertujuan bagi menangani ketidakseimbangan perdagangan akibat perbezaan tarif yang tidak adil serta halangan bukan tarif yang dikenakan negara lain.
“Selama beberapa generasi, negara lain mengambil kesempatan ke atas AS dengan mengenakan tarif pada kadar yang lebih tinggi.
“Contohnya, AS mengenakan tarif 2.5 peratus ke atas import kenderaan penumpang (dengan enjin pembakaran dalaman), manakala Kesatuan Eropah atau EU (10 peratus) dan India (70 peratus) mengenakan duti yang jauh lebih tinggi bagi produk yang sama,” katanya dalam laporan berita.
Bagi suis rangkaian dan penghala, AS tidak mengenakan tarif tetapi India mengenakan kadar lebih tinggi antara 10 peratus hingga 20 peratus.
Brazil (18 peratus) dan Indonesia (30 peratus) mengenakan tarif lebih tinggi ke atas etanol berbanding AS (2.5 peratus).
Bagi beras bersekam, AS mengenakan tarif sebanyak 2.7 peratus, manakala India (80 peratus), Malaysia (40 peratus) dan Turkiye (31 peratus) mengenakan kadar lebih tinggi.
Rakan dagang dijangka bertindak balas dengan langkah mereka sendiri yang boleh membawa kepada kenaikan harga secara mendadak bagi pelbagai barangan daripada basikal hingga wain.
Niaga hadapan saham AS jatuh mendadak selepas pengumuman itu, susulan beberapa minggu dagangan tidak menentu apabila pelabur membuat spekulasi mengenai bagaimana tarif baharu itu mungkin menjejaskan ekonomi global, inflasi dan pendapatan korporat.
Saham AS kehilangan hampir AS$5 trilion (RM22.2 trilion) nilai sejak Februari.


































