Kakitangan kesihatan memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Chongqing di barat daya China.
LONDON: Saham syarikat farmaseutikal Pfizer dan Moderna melonjak selepas saintis China menerbitkan laporan amaran tentang varian baharu Covid-19.
Menurut Utusan Malaysia, penyelidik di Institut Virologi di Wuhan berjaya mengesan satu lagi varian coronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2.
Ketika banyak pasaran merosot, saham Pfizer meningkat sebanyak 1.54 peratus, manakala saham Moderna melonjak sebanyak 5.34 peratus selepas berita itu tersebar.
Sebelum ini, Pakar Virologi China, Shi Zhengli berkata, penemuan varian baharu tersebut ditemui hidup dalam haiwan kelawar dan ia sangat mirip dengan virus penyebab pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu.
Menurut laporan, strain itu lebih berkait rapat dengan Sindrom Pernafasan Virus Corona Asia Barat (MERS-CoV), penyakit pernafasan teruk yang boleh merebak daripada unta kepada manusia melalui sentuhan fizikal.
“Ujian menunjukkan HKU5-CoV-2 dapat merebak ke dalam sel manusia melalui cara serupa dengan SARS-CoV-2, malah ia juga boleh menyebabkan risiko tinggi sama ada jangkitan langsung atau hos perantaraan.
“Munculnya virus berkenaan boleh mengundang kebimbangan secara global kerana berkemungkinan akan menyebabkan ancaman lebih besar kepada kesihatan awam,” katanya.
Virus tersebut boleh menyebabkan gejala seperti demam, batuk, sesak nafas, cirit-birit dan muntah serta mengundang maut.
Sehingga kini, tiada orang dilaporkan dijangkiti strain baharu itu.


































