Azizah dan Dr. Ramzah bergambar bersama pengamal media pada Malam Apresiasi Media di sini.
KOTA KINABALU: Peranan wartawan dan media massa kekal relevan dalam membantu proses kemajuan serta pembangunan negara.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun, berkata penulisan media massa sejak dahulu berperanan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat, khususnya dalam menyalurkan input-input yang positif dan membina.
Beliau menegaskan bahawa kemajuan pesat teknologi hari ini menuntut peranan media massa yang lebih bertanggungjawab, jujur, dan amanah.
“Betul seperti kata pepatah, ‘mata pena lebih tajam daripada mata pedang’. Dalam konteks IDS, media bertindak sebagai penghubung yang mendekatkan kementerian dengan masyarakat luar bandar menerusi liputan isu-isu pembangunan yang relevan dan konsisten sepanjang tahun.
“Kemahiran dalam memahami dasar kerajaan serta isu semasa perlu dikuasai oleh setiap wartawan bagi memastikan peranan profesion kewartawanan dalam pembangunan negara dapat dipikul dengan berkesan,” katanya pada Majlis Apresiasi Media yang diadakan di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Prof. Madya Datuk Dr. Ramzah Dambul serta ahli lembaga pengarah IDS.
Menurut Azizah, pengamal media juga berperanan sebagai perisai dalam menangkis berita palsu yang mudah tersebar di media sosial, selain membetulkan persepsi masyarakat terhadap sesuatu isu.
“Pelbagai bidang pelaporan berita yang dihasilkan oleh wartawan membolehkan kita mendapatkan informasi terkini. Wartawan bekerja siang dan malam bagi memastikan audien memperoleh berita yang sahih dan boleh dipercayai.
“Kita juga dapat mengetahui maklumat di luar jangkauan kita melalui laporan mereka, seperti kes jenayah dan mahkamah, penipuan, kes buli siber, perkembangan politik semasa, dan juga hiburan,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa media arus perdana memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman jenayah media sosial serta bahayanya jika terjebak dalam aktiviti sedemikian.
Tambahnya, perkembangan platform media sosial tidak boleh disalahgunakan sebagai alat untuk menyebarkan kebencian antara kaum dan agama, menghasut, serta menyebarkan fitnah dan perkara negatif lain yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini, industri media turut terkesan, termasuk penutupan beberapa media utama serta pengecilan operasi.
“Peranan dan sumbangan wartawan dalam pembangunan negara sememangnya sangat relevan. Itulah yang telah, sedang, dan akan terus berlaku pada masa akan datang,” ujarnya.
Tegas Azizah, pemain industri media perlu mencari pendekatan baharu yang lebih menarik dan kreatif, termasuk memperbanyakkan laporan berunsur ‘human interest’ serta kejadian unik bagi menarik perhatian masyarakat dan mencetuskan minat mereka untuk terus membaca surat khabar.
“Saya yakin rakan-rakan wartawan kita sangat berpengalaman dan arif dalam bidang ini, khususnya dalam menyampaikan laporan berita yang dekat di hati audien.
“Kerjaya wartawan memerlukan komitmen yang tinggi, kesabaran, serta pengorbanan dari segi masa. Saya berharap agar rakan-rakan wartawan terus dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat terus berkhidmat sebagai penyampai maklumat sahih kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada semua rakan wartawan dan pengamal media yang sentiasa bersama kami dalam menyebarkan maklumat berkaitan IDS kepada rakyat,” katanya lagi.


































