Pada masa ini enam pemain warisan baharu dikatakan akan mengisi posisi kritikal dalam skuad Harimau Malaya.
PETALING JAYA: Bilangan dan tempat pemain sudah diketahui namun siapa pemain warisan baharu yang bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam tempoh terdekat ini masih kekal rahsia.
Menurut Utusan Malaysia, hanya bayangan enam hingga tujuh pemain warisan baharu dan mereka kini beraksi di liga utama di Eropah Selatan sahaja menjadi maklumat yang diketahui.
Jawapan penuh kepada persoalan itu, hanya dimiliki oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan barisan pengurusan baharu Harimau Malaya.
Begitupun, berdasarkan peta dunia, selatan Eropah terdiri daripada negara kuasa besar seperti Sepanyol, Portugal, Itali, Perancis selain negara-negara Mediterranean.
Laporan media dan nama popular diperkatakan dalam media sosial sebelum ini juga lebih menjurus kepada pemain warisan yang rata-rata berasal dari England dan Belanda.
Jika mengambil kira maklumat diberitahu Tunku Mahkota Ismail, hanya beberapa pemain saja paling hampir memenuhi kriteria iaitu membabitkan tonggak berdarah Sepanyol tetapi memiliki keturunan Malaysia iaitu Naim Garcia daripada kelab Barcelona.
Pemain itu dikatakan beraksi di posisi tengah menyerang sekali gus menepati apa yang ditetapkan Tunku Mahkota Ismail sebelum ini.
Noah Andrew Kat yang memiliki darah Malaysia dan Portugal serta bermain di posisi penyerang menjadi seorang lagi pemain yang pernah menjadi sebutan.
Selain itu, nama Ramon Rodriguez Jimenez atau lebih dikenali sebagai Monchu timbul baru-baru ini dengan pemain beraksi di posisi tengah dan penyerang dikatakan berasal dari Sepanyol.
Latar belakang pemain berusia 25 tahun itu cukup baik kerana pernah beraksi bersama Barcelona, Girona dan Valladolid dan kini merupakan tonggak Aris FC yang berpengkalan di Greece.
Justeru, tiga pemain terbabit dilihat berasal dari negara Eropah Selatan dan masih aktif beraksi untuk kelab masing-masing.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Tunku Mahkota Ismail memaklumkan bahawa pasukan negara bakal diperkuatkan sekurang-kurangnya enam pemain warisan gred A.
Sekiranya segala perancangan itu berjalan lancar maka skuad kendalian Peter Cklamovski bakal tampil selaku antara pasukan ‘terkuat’ dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 apabila diperkuatkan dengan pemain warisan pada kejohanan tersebut kelak.
Baginda juga menjelaskan bahawa posisi kritikal dan bermasalah seperti pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, pemain tengah menyerang dan juga pemain sayap kiri menjadi keutamaan untuk diisi pemain kacukan itu.































